Perhatian: Usul bagi memulihkan Pilihan Raya Tempatan ini telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang walaupun tanpa penyertaan ADUN-ADUN UMNO dalam perbahasan ke atasnya.Ucapan Perbahasan Y.B. Ng Wei Aik, Ahli Dewan Undangan Negeri bagi Kawasan KOMTAR ke atas Usul Kerajaan Negeri Pulau Pinang:Dato’ Speaker,
Saya ingin mengambil bahagian dalam perbahasan ke atas usul Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang berbunyi seperti berikut:
“Bahawa Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang menggesa Kerajaan Persekutuan untuk mengambil langkah-langkah segera meminda seksyen 10 dan seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan undang-undang berkaitan supaya Pilihan Raya Kerajaan Tempatan dapat dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum yang akan datang.”
Dato’ Speaker,
Usul yang dibentangkan ke Dewan Undangan Negeri ini untuk memulihkan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan adalah tepat pada masanya. Namun, ingin saya mengingatkan Dewan yang mulia ini bahawa kita mengadakan pilihan raya tempatan untuk memilih ahli-ahli majlis supaya membentuk sebuah majlis tempatan, iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai dalam konteks Negeri Pulau Pinang.
Pilihan raya tempatan diadakan bukan untuk memilih kerajaan tempatan, di mana pihak berkuasa tempatan adalah wujud secara kekal baik sebelum, semasa dan selepas pilihan raya tempatan diadakan. Dengan terbentuknya majlis tempatan, maka ahli-ahli majlis yang terpilih dapatlah menggubal segala dasar atau keputusan yang perlu dilaksanakan oleh keseluruhan majlis tempatan.
Pemulihan pilihan raya tempatan juga merupakan salah suatu janji pilihan raya yang sedang dikotakan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat. Usul ini dibawa untuk membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat tidak hanya setakat membuat janji-janji kosong sahaja.
Malah, sebuah jawatankuasa kerja pernah ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri untuk mengkaji segala aspek yang berkenaan dengan pilihan raya tempatan, termasuk mengkaji halangan-halangan dari segi undang-undang bagi kita memulihkan pilihan raya tempatan, khususnya di Negeri Pulau Pinang.
Syabas kepada ahli-ahli jawatankuasa kerja, termasuk Pengerusi Dr. Goh Ban Lee yang gigih berusaha untuk cuba membawa kembali pilihan raya tempatan ke pangkuan rakyat jelata secara amnya, dan rakyat Negeri Pulau Pinang secara khususnya.
Dato’ Speaker,
Usul ini tidak bertujuan untuk membawa atau memperkenalkan sesuatu yang baru ke dalam politik tanahair kita, tetapi hanya menuntut balik sesuatu yang telah diculik oleh Kerajaan Barisan Nasional lama sebelum itu, iaitu pilihan raya tempatan. Ini merupakan hak-hak asasi yang harus dinikmati oleh rakyat jelata sebagai pembayar cukai kepada pihak berkuasa tempatan.
Namun demikian, Barisan Nasional yang takutkan kuasa rakyat akan sentiasa menggunakan pelbagai alasan, baik yang masuk akal mahupun yang tidak masuk akal, untuk menafikan hak-hak asasi rakyat sehingga pilihan raya tempatan telah digantung pada tahun 1965 dan dimansuhkan pada tahun 1978.
Walaupun Barisan Nasional telah mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya umum yang lepas, tetapi saya berasa amat kesal dengan sikap ADUN-ADUN UMNO, khususnya Ahli Yang Berhormat Telok Ayer Tawar yang masih cuba sedaya upaya untuk menghalang usul yang berkepentingan rakyat ini daripada diluluskan. Sikap ini jelas menunjukkan mereka langsung tidak menghormati suara rakyat, hak rakyat dan kehendak rakyat!
Ada sesetengah pihak yang mendakwa bahawa pilihan raya tempatan tidak harus dipulihkan atas sebab pilihan raya tempatan menelan kos perbelanjaan yang begitu besar amaunnya. Jikalau Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh diambil sebagai contoh, Suruhanjaya Pilihan Raya hanya membelanjakan RM500,000 untuk perjalanan pilihan raya tersebut.
Dalam kata lain, pilihan raya tempatan yang melibatkan keseluruhan Negeri Pulau Pinang yang merangkumi 13 kawasan parlimen hanya menelan perbelanjaan yang kurang daripada RM6.5 juta. Jikalau dibandingkan dengan perbelanjaan RM84.3 juta untuk membina bangunan baru bagi MPSP di Perda, perbelanjaan yang sama membolehkan kita menganjurkan sekurang-kurangnya 13 kali pilihan raya tempatan, atau bersamaan dengan pilihan raya tempatan yang diadakan setengah abad yang akan datang dengan selang 4 tahun setiap kali.
Ini sememangnya bukan suatu perbelanjaan besar yang cukup membebankan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tetapi jikalau pilihan raya tempatan dapat diadakan serentak dengan pilihan raya umum yang akan datang, maka keadaan ini sedikit sebanyak dapat menjimatkan lagi perbelanjaan yang akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri, selaras dengan sikap berhemah yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menguruskan perbelanjaannya.
Dato’ Speaker,
Adalah betapa pentingnya bagi kita melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pengendalian pilihan raya tempatan atas sekatan Perlembagaan Persekutuan bahawa semua pilihan raya hanya boleh dilaksanakan oleh SPR sahaja. Perlu diingatkan bahawa perjalanan pilihan raya tempatan adalah berdasarkan ward, di mana pemilih-pemilih yang menghuni serta berdaftar di setiap ward dapat mengundi serta menentukan mana-mana calon untuk dipilih sebagai ahli majlis bagi mewakili ward masing-masing.
Macam mana ward-ward bagi tujuan perjalanan pilihan raya tempatan dipersempadankan? Ward-ward tersebut adalah berbeza dengan kawasan-kawasan parlimen atau KADUN-KADUN yang sedia ada? Persempadanan ward-ward merupakan suatu proses yang rumit di mana pelbagai faktor perlu diambil kira dalam proses tersebut, termasuk latar belakang pembentukan sesuatu lokaliti secara semula jadi, serta jurang bagi ward yang mempunyai bilangan pemilih yang paling banyak dan ward yang mempunyai bilangan pemilih yang paling kurang perlu dikurangkan sehingga tidak melebihi 5% daripada jumlah pemilih.
Saya berasa adalah wajar bagi Kerajaan Negeri mengadakan pilihan raya tempatan serentak dengan pilihan raya umum yang akan datang, supaya Suruhanjaya Pilihan Raya dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat diberikan masa yang secukupnya untuk menyempurnakan proses persempadanan ward-ward sebelum pilihan raya tempatan diadakan. Kita tidak perlu tergesa-gesa dalam mengadakan pilihan raya tempatan ekoran daripada desakan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan memandangkan segala kerja-kerja persediaan yang diperlukan belum dapat bermula lagi.
Jikalau kita inginkan pilihan raya tempatan dipulihkan dalam masa yang terdekat, maka usul ini haruslah diluluskan oleh Dewan yang mulia ini supaya kita memberi tekanan kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengambil langkah-langkah segera dengan meminda seksyen 10 dan seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 serta undang-undang yang berkaitan supaya pilihan raya tempatan dapat dipulihkan bukan sahaja di Pulau Pinang, malah juga di seluruh Semenanjung Malaysia, tanpa kira Sabah dan Sarawak.
Saya difahamkan bahawa perkara tersebut perlu dibincangkan di Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) tetapi sambutan yang positif tidak dapat diterima. Saya mohon Ahli Yang Berhormat Padang Kota supaya memberi penjelasan kepada Dewan yang mulia ini berkenaan dengan proses perbincangan dalam MNKT terhadap isu ini dan apakah strategi atau pendakatan yang Ahli Yang Berhormat Padang Kota akan ambil untuk memastikan usul ini dapat diperakui oleh MNKT atau mencapai matlamat pada akhirnya?
Dato’ Speaker,
Perjalanan pilihan raya tempatan yang berlunaskan demokrasi dapat memperkasakan lagi penyertaan rakyat dalam proses demokrasi negara kita. Seseorang ahli majlis yang tidak berprestasi baik bolehlah dikalahkan dalam pilihan raya tempatan dan seterusnya digantikan dengan mereka yang berkaliber serta mempunyai rekod prestasi yang lebih memuaskan.
Melalui proses demokrasi ini, kita dapat melantik salah seorang di kalangan ahli-ahli majlis yang terpilih untuk menjawat jawatan sebagai Yang Dipertua bagi MPPP atau MPSP. Jadi, proses ini juga membolehkan seseorang Yang Dipertua yang kurang berkaliber dapat digantikan dengan seorang yang lebih berkaliber.
Untuk pengetahuan Ahli-Ahli Yang Berhormat, jikalau negara-negara lain yang tahap pembangunan mereka setaraf atau jauh lebih mundur daripada Malaysia, seperti Sri Lanka, Guyana, Nigeria, Turkey, Kyrgyzstan, Croatia dan sebagainya juga dapat melaksanakan pilihan raya tempatan bagi membolehkan rakyat jelata terus memilih pemimpin-pemimpin tempatan mereka untuk membentuk majlis tempatan masing-masing, apatah lagi dengan Malaysia yang serba boleh ini?
Dengan kata-kata ini, saya mohon menyokong usul ini diluluskan oleh Dewan yang mulia ini.
Sekian, terima kasih.
Read more!