Wednesday, 4 May 2011

Ucapan DUN (4)

Perumahan Awam

Perumahan awam amat diperlukan di kawasan bandar Georgetown, khasnya di sekitar KOMTAR bagi menarik minat orang ramai untuk berhijrah balik ke Georgetown. Walaupun pemaju swasta tidak begitu sudi untuk melaksanakan projek perumahan kos rendah atau sederhana rendah di kawasan bandar atas factor kos yang mahal, tetapi Kerajaan Negeri, PDC atau MPPP masih mempunyai peranan untuk merealisasikan konsep tersebut.

Terdapat sebidang tanah kosong yang luas milikan MPPP di Jalan S.P. Chelliah dan juga di Jalan Sungai yang kini tanahnya masih dihuni oleh 27 rumah, difahamkan pihak MPPP telah melantik juru perunding untuk menjalankan kajian terhadap konsep pembangunannya. Memandangkan terdapat permintaan yang tinggi terhadap perumahan awam di kawasan bandar, saya ingin bercadang supaya sebahagian tanah tersebut dibangunkan sebagai perumahan kos sederhana rendah yang boleh dibeli melalui konsep sewa beli dengan adanya unsur komersil untuk menjanakan peluang-peluang kerjaya yang baru di kawasan tersebut.

Kerajaan Persekutuan bercadang untuk membuat pindaan ke atas Akta Bangunan dan Harta Bersama 2007 melalui persidangan Parlimen dalam bulan Jun yang akan datang. Akan tetapi, masalah penubuhan JMB bagi pegangan tanah jenis “private lease”, seperti di kawasan Farlim dan Tanjung Pinang masih belum dapat diatasi. Saya ingin bercadang supaya kajian dilakukan terhadap Peraturan-Peraturan Tanah Negeri Pulau Pinang (Penang Land Rules) supaya masalah tersebut dapat ditangani melalui pindaan ke atas peraturan-peraturan tersebut.

Tindakan penguatkuasaan perlu diambil oleh Pesuruhjaya Bangunan (COB) terhadap syarikat-syarikat pemaju yang mengingkari perintah COB dan juga syarikat pengurusan yang melanggari undang-undang. Terdapat banyak syarikat pemaju yang kini gagal mengemukakan penyata akaun yang telah diauditkan kepada COB tetapi tidak diambil tindakan oleh COB.

Terdapat juga syarikat pemaju yang gagal atau lewat menubuhkan JMB atau MC dalam tempoh yang ditetapkan tetapi tidak diambil tindakan oleh COB. Jikalau notis hanya dikeluarkan oleh COB kepada syarikat pemaju setiap kali selepas aduan diterima, maka pendekatan ini tidak akan menggalakkan skim-skim pemajuan berstrata untuk menubuhkan JMB atau MC dengan secepat mungkin.

Bagi kes di Pangsapuri Taman Hijau (Green Garden), Blok 1062 & 1066, Jalan Paya Terubong, syarikat pemaju lantikan bekas pemaju iaitu Nostalgia Kencana Sdn. Bhd. masih meneruskan operasinya walaupun syarikat pemaju iaitu Gelanggang Kemilau Sdn. Bhd. telah digulungkan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 4 Mac 2010 dan Pegawai Penerima Malaysia telah dilantik sebagai pelikuidasi.

Syarikat tersebut masih meneruskan operasinya walaupun pernah diambil tindakan penguatkuasaan oleh COB pada 28 Mac 2011 dengan merampas semua fail dan rekodnya untuk diserahkan kepada JMB yang sah penubuhannya. Saya berasa amat kesal dengan sikap Jabatan Insolvensi Malaysia yang enggan memberi kerjasama untuk mengambil tindakan terhadap syarikat tersebut serta menyita hartanah milikan bekas pemaju yang sedang diduduki oleh syarikat pengurusan yang tidak sah dilantik tersebut.

Perkara tersebut pernah saya bawa ke perhatian Jabatan Insolvensi Malaysia dan saya berharap supaya jabatan tersebut memainkan peranan yang lebih aktif supaya mereka turut dapat menjamin kepentingan pembeli-pembeli dengan mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab pada masa-masa yang difikirkan sesuai. Kerjasama di antara COB dengan Jabatan Insolvensi Malaysia perlu dieratkan lagi dan perundangan yang mengawal Jabatan Insolvensi juga perlu diperluaskan supaya peranan yang dapat dimainkan olehnya juga dapat diperluaskan lagi.

Hotel Bajet yang Haram

Di kawasan pusat bandar Georgetown, terdapat banyak premis hotel bajet yang tidak berlesen. Hotel bajet tersebut menghadapi kesusahan untuk mendapatkan lessen perniagaan atas sebab perundangan yang bercanggahan yang digariskan oleh pihak-pihak berkuasa. Jikalau sesuatu permohonan kebenaran merancang dikemukakan, pihak Bomba akan mewajibkan lantai hotel di tingkat atas perlu dibina dengan konkrit yang boleh menahan kebakaran selama dua jam manakala MPPP tidak akan membenarkan supaya lantai hotel ditukarkan kepada konkrit atas sebab sekatan terhadap bangunan-bangunan berwarisan.

Terdapat banyak permintaan yang saya terima daripada penduduk-penduduk yang menghuni di Tapak Warisan Sedunia supaya dibenarkan lantai rumah mereka bagi tingkat atas ditukarkan kepada konkrit. Jikalau lantai rumah mereka perlu dikekalkan dengan kayu atas sebab bangunan berwarisan, lantai yang terbina dengan kayu lebih mudah terbakar dan membahayakan nyawa jikalau berlakunya kebakaran ke atas premis-premis tersebut. Hanya dengan lantai konkrit, kita dapat memastikan penghuni-penghuni di dalamnya melarikan diri dalam masa yang tersingkat.

Jikalau hotel-hotel bajet haram yang tumbuh macam cendawan dapat ditangani dengan dikeluarkan lesen perniagaan ekoran permohonannya memenuhi kehendak-kehendak pihak-pihak berkuasa, maka kita dapat menjamin keselamatan tetamu-tetamu hotel yang menghuni di dalamnya. Pada masa yang sama, kita juga dapat menjana pendapatan tambahan kepada MPPP jikalau kesemua hotel bajet tersebut dapat dilesenkan. Maka, saya berharap supaya garis panduan yang terpakai sekarang dapat dilonggarkan supaya kesemua lantai hotel dapat ditukar menjadi konkrit.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home