Wednesday, 4 May 2011

Ucapan DUN (1)

Ucapan Y.B. Ng Wei Aik, Ahli Dewan Undangan Negeri bagi Kawasan KOMTAR semasa menyertai perbahasan ke atas Usul Terima Kasih kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang bersidang mulai 29 April 2011:

Terima kasih atas peluang bagi saya menyertai perbahasan ke atas ucapan Tuan Yang Terutama dalam persidangan Dewan yang mulia ini, yang mungkin kali terakhir diadakan sebelum pilihan raya umum yang akan datang.

Dalam tempoh tiga tahun yang lepas, kita telah menyaksikan betapa menariknya persidangan Dewan yang mulia ini dengan adanya penghujahan dan pertikaian di antara Barisan Kerajaan dan Barisan Pembangkang. Inilah semangat demokrasi yang kita sanjungi selama ini!

Kita juga menyaksikan pelbagai usaha yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mempertingkatkan kualiti demokrasi dan perundangan dalam negeri kita, termasuk menggubal Enakmen Kebebasan Maklumat Negeri Pulau Pinang yang akan dibentangkan dalam persidangan yang akan datang dan juga mendirikan sudut pemidato di Esplanade yang kini sudah genap setahun.

Kebebasan Media di Malaysia

Sempena Hari Kebebasan Media yang jatuh pada 3 Mei setiap tahun, saya ingin menggunakan kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Kebebasan Media kepada wartawan-wartawan kita, khasnya mereka yang sedang membuat liputan berita dalam Dewan yang mulia ini.

Walaupun wartawan-wartawan dan orang awam kini dapat menyaksikan persidangan DUN melalui siaran web secara langsung, namun kedudukan Malaysia pada Indeks Kebebasan Media sekali lagi jatuh dan kini berada di tangga ke-143 seperti yang diumumkan oleh Freedom House di Washington semalam.

Lebih sedih lagi, kedudukan Malaysia kini berada di tahap “Tidak Bebas” yang standing dengan Angola dan Madagascar manakala tahap kebebasan media bagi Indonesia, Filipina, Negeri Thai dan Cambodia kini adalah jauh lebih baik daripada kita.

Saya berharap lebih banyak usaha dapat diambil oleh Kerajaan Negeri serta Dewan yang mulia ini untuk meningkatkan lagi kualiti dan tahap demokrasi kita. Dewan yang mulia ini bukanlah suatu “rubber stamp” dan kita perlu memberi input yang bernas supaya apa yang salah dapat diperbetulkan dan apa yang benar perlulah diteruskan lagi.

Pengurusan Bukit Bendera

Pada 1 Mei 2011, Keretapi Bukit Bendera telah dipulihkan perkhidmatan awamnya selepas lebih setahun diberhentikan bagi memberi laluan kepada projek penaiktarafannya. Kini, operasi Keretapi Bukit Bendera terletak di bawah bidang kuasa Perbadanan Bukit Bendera yang ditubuhkan melalui suatu enakmen yang digubal oleh Dewan yang mulia ini.

Dengan penubuhan Perbadanan Bukit Bendera, kita berharap keseluruhan sistem dapat dipertingkatkan dan beroperasi dengan lebih lancar dan Bukit Bendera juga dapat dinaiktaraf dengan tertambahnya produk-produk pelancongan yang baru. Ini adalah salah satu objektif bagi penubuhan Perbadanan Bukit Bendera.

Namun demikian, didapati bahawa Perbadanan Bukit Bendera telah melantik mereka yang tiada kepakaran teknikal sebagai pengurus teknikal dan sebagainya. Terdapat mereka yang merupakan aktivis Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dilantik sebagai Pemangku Pengurus Teknikal manakala mereka yang sebelum ini pernah dihantar ke Switzerland untuk menjalani latihan tidak ditawarkan sebarang penggajian dalam Perbadanan Bukit Bendera. Adakah ini merupakan suatu pembaziran wang rakyat?

Apabila berdepan dengan pelawat yang terlampau banyak, keseluruhan sistem kita baik dari aspek kawalan trafik sehingga ke aspek penjualan tiket tidak dapat menampung permintaan pelawat-pelawat tersebut sehingga adanya pelawat yang pengsan akibat beratur terlalu lama di bawah matahari yang terik. Ini membuktikan perancangan yang kurang rapi akibat mereka yang tiada kepakaran dilantik ke perbadanan tersebut.

Premis yang telah disiapkan sebagai tempat letak kereta yang baru sehingga kini belum dapat beroperasi lagi akibat tiada sijil penyempurnaan dikeluarkan. Hanya dua kaunter tiket dibuka bagi menampung bilangan pelawat yang banyak. Tiada tanda arah dan laluan disediakan dengan baik bagi pelawat-pelawat yang pertama kali melawat ke Bukit Bendera.

Kita juga menerima rungutan daripada penjaja-penjaja di atas dan stesen bawah Bukit Bendera akibat mereka tidak ditawarkan tapak menjaja selepas siapnya projek penaiktarafan Keretapi Bukit Bendera. Pada asalnya, penjaja-penjaja terlibat diberhentikan dengan harapan bahawa mereka dapat beroperasi semula apabila perkhidmatan Keretapi Bukit Bendera dipulihkan semula.

Sekarang pula, mereka menghadapi masalah untuk terus berniaga walaupun mereka telah berniaga berpuluh-puluh tahun di sini. Mengapakah keadaan ini boleh berlaku? Saya difahamkan bahawa tapak penjaja tersebut pada seketika dahulu ingin dijadikan ruang pejabat bagi Pengurus Besar dan Pengurus Teknikal Perbadanan Bukit Bendera. Mengapakah berlakunya keadaan kelam-kabut sehingga dinafikan peluang penjaja-penjaja tersebut untuk terus berniaga? Saya berharap mereka dapat terus diberikan peluang untuk berniaga di sini.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home