Thursday 13 January 2011

Jangan Buat Serangan Tanpa Meneliti Niat Murni di Sebaliknya

Kenyataan Media oleh Y.B. Ng Wei Aik, Ahli Dewan Undangan Negeri bagi Kawasan KOMTAR pada 13 Januari 2011 (Khamis) di George Town:

Terlebih dahulu, saya ingin melahirkan rasa kesal terhadap kehadiran saya semasa tindakan penguatkuasaan MPPP diambil dan ini telah memberi suatu gambaran yang tidak tepat dan menyimpang daripada tujuan sebenar tindakan MPPP diambil pada malam itu.

Mulai hari ini, saya tidak akan melibatkan diri dalam mana-mana tindakan penguatkuasaan yang bakal diambil oleh MPPP atau Pihak-Pihak Berkuasa pada masa yang akan datang. Ini adalah untuk mengelakkan sebarang fitnah dan tohmahan terus dilemparkan terhadap saya.

Saya juga ingin mengecam serangan bersistematik yang berunsurkan fitnah terhadap peribadi saya dengan pelbagai jenis label tanpa meneliti apa yang telah berlaku di Gat Lebuh Macallum sehingga tindakan penguatkuasaan perlu diambil oleh MPPP dengan kadar paling segera.

Kemalangan melibatkan dua buah kereta yang berlaku pada 2 Januari 2011 di Gat Lebuh Macallum yang hampir-hampir mendatangkan maut terhadap pelanggan-pelanggan sebuah restoran Nasi Kandar yang digelar sebagai Restoran Nasi Kandar Mohamed Aliyar menyebabkan tindakan penguatkuasaan perlu diambil oleh MPPP untuk merampas meja, kerusi serta segala peralatan yang merupakan halangan di atas muka jalan dan juga kaki lima.

Tindakan penguatkuasaan diambil oleh MPPP untuk mengelakkan sebarang malapetaka yang lebih serius akan berlaku pada pelanggan-pelanggan restoran serta menjamin kepentingan dan keselamatan awam. Tiada wujudnya unsur atau niat jahat untuk tindakan-tindakan tersebut diambil. Maka, sebarang tindakan yang diambil oleh MPPP dengan niat murni atau tujuan yang baik perlu disokong oleh semua pihak.

Kita tidak ingin tindakan baru diambil selepas sebarang malapetaka yang membawa maut atau menggugat keselamatan nyawa orang awam berlaku. Sesebuah kerajaan yang bertanggungjawab ada kewajipan untuk menjamin keselamatan nyawa dan harta benda rakyatnya supaya tidak terjejas oleh apa-apa kejadian yang bakal berlaku.

Sehingga kini, tiada apa-apa bukti yang dapat menunjukkan bahawa saya pernah meluahkan sebarang kenyataan yang berbaur perkauman. Semua wartawan yang membuat liputan berita pada malam tersebut juga dapat menjadi saksi saya bahawa tidak pernah saya mengeluarkan kata-kata yang mahukan pemilik atau pekerja-pekerja restoran ‘balik India’.

Ini merupakan suatu fitnah dan tohmahan yang liar dan jahat terhadap saya. Saya bertegas dengan pendirian saya bahawa saya akan meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang jikalau ada apa-apa bukti tulen yang menunjukkan bahawa saya pernah meluahkan kata-kata yang berbaur perkauman. Tindakan saman mahkamah tetap akan diambil terhadap pihak-pihak yang membuat tuduhan yang tidak berasas terhadap saya.

Secara kesimpulannya, tindakan-tindakan yang diambil oleh MPPP perlu dilihat dari keseluruhan konteksnya dan tidak harus diberi liputan yang kurang lengkap atau kurang tepat sehingga memberi suatu tanggapan salah kepada orang awam.

Yang saya kesal adalah kehadiran saya pada malam itu telah memberikan ruang bagi pihak-pihak tertentu untuk melakukan fitnah terhadap saya dan ini tidak akan saya ulangi lagi.

NG WEI AIK

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home