Monday, 8 November 2010

Usul Tergempar Mengutuk Demonstrasi Liar dan Ganas di Luar DUN Pulau Pinang

Ucapan Y.B. Ng Wei Aik, Ahli Dewan Undangan Negeri bagi Kawasan KOMTAR semasa Mengemukakan Usul Tergempar di Bawah Peraturan Majlis Mesyuarat 30 bagi Menangguhkan Mesyuarat untuk Membincangkan Perkara Berkenaan dengan Kepentingan Orang Ramai yang Berkehendak Disegerakan pada 8 November 2010 (Isnin) di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

Y.B. Dato’ Speaker,

Dengan izin, saya ingin mengemukakan suatu usul tergempar di bawah Peraturan Majlis Mesyuarat 30(1) dan 30(2) dalam Dewan yang mulia ini dan berbunyi seperti berikut:

“Bahawa Dewan yang mulia ini mengutuk dengan sekeras-kerasnya demonstrasi liar dan ganas yang berlaku pada 2 November 2010 di luar perkarangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang telah mengganggu perjalanan mesyuarat serta menghina Dewan yang mulia ini dan pihak polis diminta untuk mempertahankan kewibawaan Dewan yang mulia ini sebagai institusi perundangan yang tertinggi di Negeri Pulau Pinang”

Y.B. Dato’ Speaker,

Ini merupakan suatu usul yang terpenting untuk kita sama-sama mempertahankan maruah dan kewibawaan Dewan yang mulia ini sebagai institusi perundangan yang tertinggi di Negeri Pulau Pinang. Ingin saya jelaskan di sini bahawa kita bertujuan untuk mengutuk mereka yang ingin datang untuk mengadakan demonstrasi atau protes secara aman, sebagai suatu cara atau pendekatan bagi mereka mengutarakan masalah atau rintihan hidup masing-masing.

Tetapi, ini tidak bermaksud bahawa seseorang boleh bertindak liar dan ganas sehingga pintu masuk ke Dewan telah digoncang dengan kuat sehingga hampir-hampir nak jatuh. Terdapat seorang telah memanjat pintu untuk merantaikan diri dengan pintu tersebut. Adakah ini bertujuan untuk mengurung semua Ahli Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini, termasuk mereka dari barisan Pembangkang supaya tidak dapat keluar atau masuk ke Dewan ini? Ini jelas merupakan suatu penghinaan terhadap Dewan yang mulia ini.

Y.B. Dato’ Speaker,

Pada hari Selasa yang lepas, Y.A.B. Ketua Menteri sedang membentangkan bajet 2011 dalam Dewan yang mulia ini yang merupakan suatu bajet yang penting untuk menggariskan hala tuju pembangunan Negeri Pulau Pinang pada tahun yang akan datang. Melalui bajet ini, banyak dasar yang baru telah diumumkan untuk memangkin lagi pembangunan Negeri Pulau Pinang sebagai sebuah bandaraya bertaraf antarabangsa.

Jikalau demonstrasi tersebut diadakan untuk tujuan mengalihkan perhatian awam terhadap bajet yang berjiwakan rakyat tersebut, saya nak ucap tahniah kepada UMNO kerana boleh dikatakan mereka telah mencapai tujuannya. Hakikatnya, demonstrasi tersebut telah diberi laporan yang luas dalam media sehingga liputan terhadap bajet tersebut dikurangkan. Boleh saya katakan ini merupakan salah satu motif UMNO kerana yang menyertai demonstrasi tersebut adanya merupakan pemimpin-pemimpin UMNO, termasuknya Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang.

Mereka mendakwa bahawa adanya warga-warga emas yang ingin mengembalikan wang ehsan RM100 yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri. Ketua Pemuda UMNO sendiri yang menyatakan bahawa terdapat lebih seribu orang lagi di Negeri Pulau Pinang yang ingin mengembalikan wang ehsan tersebut.

Kenyataan beliau dipetik dalam suatu sidang media selepas menghadiri mesyuarat Pemuda Barisan Nasional Negeri Pulau Pinang pada 5 Oktober 2010 berbunyi seperti berikut, “Kami menjangkan lebih kurang 1,000 warga emas lagi akan memulangkan wang ehsan tersebut kepada UMNO Bahagian masing-masing.”

Ini menunjukkan bahawa UMNO adalah dalang di sebalik batu yang mengapi-apikan warga emas untuk mengembalikan wang ehsan RM100 tersebut. Jikalau terdapat 1,000 lagi warga emas yang ingin mengembalikan wang ehsan mereka, ini bermaksud bahawa sekurang-kurangnya RM100,000 akan dikutip untuk dikembalikan kepada Kerajaan Negeri. Akan tetapi, hanya sejumlah RM23,700 yang dibawa oleh Ketua Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang pada hari tersebut untuk dikembalikan. Mana perginya baki yang sejumlah RM76,300?

Y.B. Dato’ Speaker,

Jikalau tiadanya senarai yang menunjukkan dari mana datangnya wang tersebut dengan nama dan nombor kad pengenalan dipaparkan dan wang tersebut tidak dapat dikembalikan dan sehingga kini pula masih belum dikembalikan kepada warga emas masing-masing, mereka yang masih memegang wang tersebut boleh dikatakan telah melakukan satu kesalahan pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan dan harus diambil tindakan segera oleh pihak polis.

Saya juga ingin menggesa warga-warga emas yang terlibat untuk membuat repot polis terhadap Ketua Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang atas kesalahan pecah amanah mereka dan juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri yang kini telah digantung oleh Dewan yang mulia ini atas sifatnya yang langsung tidak menghormati Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang mahukan askar datang untuk mengambil alih.

Y.B. Dato’ Speaker,

Ini bukan kali pertama suatu demonstrasi yang liar dan ganas dianjurkan semasa Dewan Undangan Negeri bersidang. Pada 30 November 2009, demonstrasi yang terdiri daripada gerombolan Pemuda UMNO, Gerakan, MCA dan MIC juga diadakan di luar Dewan Undangan Negeri di mana gambar Y.A.B. Ketua Menteri telah dibakar.

Kali ini, mereka yang protes bukan sahaja bertindak liar dan ganas malah telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap sesetengah Ahli Yang Berhormat. Ini adalah sesuatu yang menyedihkan sehingga kita tertanya-tanya siapanya mereka dan adakah mereka datangnya dari sebuah parti samseng? Jikalau mereka bukannya datang dari sebuah parti samseng, buatlah protes dengan secara aman, buatlah secara berhemah dan semua pemimpin Kerajaan Negeri selalu bersiap sedia dan sudi untuk mendengari suara rakyat dengan hati yang terbuka.

Pada masa yang sama, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk meminta pihak polis supaya sama-sama untuk mempertahankan maruah dan kewibawaan Dewan yang mulia ini, khasnya pada masa Dewan yang mulia ini bersidang supaya perjalanan mesyuarat Dewan Undangan Negeri tidak akan menghadapi sebarang kacauganggu dan semua ahli Yang Berhormat perlu menumpukan segala fokus dan perhatian mereka terhadap agenda-agenda penting yang perlu dibincangkan serta diluluskan dalam Dewan yang mulia ini.

Sekian, terima kasih.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home