Wednesday, 11 August 2010

PDC tidak pernah menghalang Bazaar Ramadan

KENYATAAN PENGURUS BESAR PDC DATO’ ROSLI JAAFAR KE ATAS BAZAAR RAMADAN DI PARAS 3 KOMTAR, GEORGE TOWN PADA 11 OGOS 2010.

Pihak PDC telah mengadakan satu perbincangan dengan peniaga-peniaga yang terlibat dengan lot perniagaan Bazaar Ramadan KOMTAR pada 10 Ogos 2010 jam 2.30 petang di KOMTAR yang dihadiri oleh 15 orang peniaga terbabit. Juga hadir adalah wakil Komtar Merchants Association(KMA), Encik Mohamed Ghani bin Abdul Jiman sebagai pengelola Bazaar Ramadan.

Pihak PDC telah memberitahu peniaga bahawa PDC tidak pernah membuat keputusan untuk menghalang Bazaar Ramadan. Masalah utamanya adalah kegagalan pengelola Bazaar Ramadan menyerahkan wang yang dipungut daripada peniaga kepada PDC. Sehingga hari ini tidak ada satu sen pun yang dibayar kepada PDC.

PDC hanya memaklumkan bahawa pihak pengelola iaitu KMA harus mengikut kesemua ketetapan, peraturan dan jumlah gerai yang ditetapkan serta membuat pembayaran yang mana sehingga kini tiada pematuhan oleh KMA. PDC juga ingin melihat agar Bazaar Ramadan ini tidak terlalu sesak yang mana akan menyebabkan kesulitan orang ramai untuk berurusan ke Pusat Pentadbiran Negeri dan boleh menjejaskan keselamatan. Tindakan KMA berurusan dengan peniaga tanpa mendapatkan kelulusan telah merugikan pihak peniaga yang telah membuat persiapan serta mengeluarkan perbelanjaan.

Demi untuk menyelesaikan isu ini, persetujuan telah dicapai antara pihak pengelola, peniaga dan PDC. Ianya adalah seperti berikut :-

1) Bersetuju sejumlah 25 lot gerai sahaja diperuntukkan di ruang legar konkos Paras 3, KOMTAR, bagi memberi lebih keselesaan kepada semua peniaga dan pengunjung.

2) Bersetuju agar memastikan barangan perniagaan tidak melebihi 2 kaki dari sempadan gerai untuk menjamin keselesaan ruang.

3) Pihak KMA bersetuju membayar sebanyak RM50.00 sehari bagi setiap gerai kepada PDC. Manakala PDC akan menanggung kos pemasangan gerai dan alatan yang berkaitan. Bayaran sewaan oleh KMA perlu dibuat selewat-lewatnya pada 12 Ogos 2010 kepada PDC.

4) Atas persetujuan pihak peniaga, sekiranya pihak KMA gagal mematuhi syarat-syarat PDC dan tidak menjelaskan bayaran yang telah dipersetujui, maka pihak peniaga bersetuju untuk berurusan secara terus dengan PDC dengan kadar yang sama.

5) Pihak PDC bersetuju untuk menyewakan pada harga yang sama yang dikenakan kepada peniaga sediada pada kadar RM50.00 sehari setiap gerai, seandainya PDC mengambilalih pengurusan penyewaan gerai-gerai tersebut.

6) Atas permintaan para peniaga juga, tarikh penyewaan ini akan bermula pada 12 Ogos 2010 dan tamat pada 12 September 2010.

7) Peniaga boleh memasuki gerai masing-masing serta merta.

8) Semua peniaga yang telah berurusan untuk menyewa lot Bazaar Ramadan dengan KMA akan diperuntukkan sejumlah 25 lot yang akan diuruskan oleh KMA.

Melalui hasil perbincangan bersama ini, PDC percaya tidak ada masalah yang dihadapi oleh peniaga Bazaar Ramadan sepertimana yang digembar-gemburkan oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.

DATO’ ROSLI JAAFAR
Pengurus Besar
Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home