Wednesday, 2 November 2011

Ucapan Perbahasan Bajet Negeri (4)

Pembangunan Belia

Pembangunan belia merupakan suatu aspek yang amat penting. Malangnya, pembangunan belia kurang diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri, di mana hanya RM682,000 diperuntukkan dalam Bajet 2012. Untuk mengelakkan golongan belia daripada terjerumus dalam alam internet, maka program-program belia yang lebih berdaya tarikan perlulah digariskan serta dianjurkan dari semasa ke semasa.

Kita juga amat memerlukan tapak-tapak perkhemahan yang sesuai di bahagian Pulau dan Seberang Perai untuk penganjuran program perkhemahan oleh sekolah-sekolah, badan-badan beruniform dan persatuan-persatuan belia.

Dulunya, kita mempunyai Coronation Camp namun tapak perkhemahan tersebut telah ditutup beberapa tahun dahulu. Adakah Kerajaan Negeri bersedia untuk mengenalpasti suatu tapak alternatif di kawasan Daerah Timur Laut bagi mendirikan semula Coronation Camp jikalau tapak yang asal tidak sesuai lagi untuk tujuan tersebut? Adakah tapak-tapak perkhemahan sebegini juga dapat dikenalpasti di setiap daerah yang lain supaya golongan muda tidak mudah diserap dan dijadikan Mat Rempit?

Keganasan Mat Rempit

Kelmarin, kita telah menyaksikan segolongan besar Mat Rempit upahan merayau-rayau di sekitar pusat bandar George Town. Mereka kononnya ingin menuntut supaya Kerajaan Negeri menyediakan lintasan larian bagi mereka merempit. Tetapi, saya rasa ini bukan tujuan mereka yang sebenar tetapi ada udang UMNO di sebalik batu. Semua Mat Rempit upahan tersebut datang dengan memakai baju yang dicetak dengan perkataan “Selamatkan Pulau Pinang” dan “LGE Rasis”.

Kita amat kesal dengan sikap dan tindakan polis dalam menangani golongan Mat Rempit yang mengganas di luar Dewan yang mulia ini. Daripada dua tiga ratus Mat Rempit yang menyertai perarakan haram tersebut, hanya 5 orang sahaja ditangkap. Mengapakah Ketua Polis Daerah begitu takut akan golongan Mat Rempit, hanya kerana mereka kali ini didalangi oleh pemimpin-pemimpin UMNO? Mengapakah golongan Mat Rempit ini boleh ditemani oleh pihak polis sehingga ke Lebuh Light sebelum tindakan dapat diambil? Adakah Dewan yang mulia ini perlu digunakan sebagai “backdrop” untuk golongan Mat Rempit ini mengganas?

UMNO merupakan bapa Mat Rempit! Ketua Pemuda UMNO pula melabelkan Mat Rempit sebagai Mat Cemerlang! Jikalau kita nak menghapuskan Mat Rempit, maka pemimpin-pemimpin UMNO yang merupakan bapa-bapa kepada Mat Rempit perlulah ditumbangkan terlebih dahulu. Kita mencintai keamanan dan janganlah kesejahteraan hidup yang kita nikmati diperkosakan oleh Mat Rempit yang merupakan gangster-gangster jalanan!

Saya tidak faham logiknya adakah Pulau Pinang dapat diselamatkan dengan menyediakan lintasan larian kepada golongan Mat Rempit. Adakah LGE yang merujuk kepada Y.A.B. Ketua Menteri kita rasis jikalau tuntutan mereka tidak dapat dipenuhi? Adakah Mat Rempit atau UMNO yang merupakan Bapa Mat Rempit dapat menyelamatkan Pulau Pinang? Sebenarnya, UMNO telah membinasakan segala-galanya!

Lihatlah MPSP yang seketika dahulu dipimpin oleh Ahli Yang Berhormat Penaga hampir-hampir bankrap dan siapakah yang merupakan penyelamat MPSP? Bukan orang lain tetapi Pakatan Rakyat sebenarnya! Banyak wang rakyat digelapkan atau dibolosi tanpa kawalan! Tanah Kerajaan dirampas dan diswastakan! Semua ini merupakan angkara Barisan Nasional yang mengagung-agungkan KKN, iaitu Korupsi, Kronisme dan Nepotisme! Hanyalah Kerajaan Negeri yang CAT, iatu Kompetensi, Akauntabiliti dan Telus dapat menyelamatkan Negeri Pulau Pinang daripada terus terjunam ke laut!

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, Bajet Kerajaan Negeri Pulau Pinang 2012 telah memberi suntikan baru bagi memangkinkan lagi pembangunan Negeri Pulau Pinang.

Kami berharap Jabatan Pengairan dan Saliran dengan peruntukan pembangunan yang ditingkatkan 39.77% jikalau berbanding dengan tahun lepas dapat mengambil tindakan-tindakan pro-aktif dalam mengelakkan insiden banjir besar seperti yang berlaku di Negeri Thai daripada berlaku lagi.

Semoganya peruntukan-peruntukan yang disediakan dapat digunakan dengan sepenuhnya. Pada masa yang sama, kita juga perlu mengekalkan amalan jimat-cermat supaya wang rakyat tidak dapat dibolosi. Jikalau lebihan wang dapat dijimat oleh Kerajaan Negeri, kita berharap bayaran RM100 untuk Pelajar Emas dapat diperluaskan kepada pelajar-pelajar bagi darjah-darjah atau tingkatan-tingkatan yang lain.

Sekian, terima kasih.

Dengan ini, saya mohon menyokong.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home