Wednesday, 2 November 2011

Ucapan Perbahasan terhadap Bajet Kerajaan Negeri 2012 (1)

UCAPAN PERBAHASAN Y.B. NG WEI AIK, AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI BAGI KAWASAN KOMTAR KE ATAS BAJET KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG 2012 PADA 1 DISEMBER 2011 (SELASA) DI DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG:

Dato’ Speaker,

Terima kasih atas peluang bagi saya menyertai perbahasan ke atas Bajet Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2012 yang dibentangkan oleh Y.A.B. Ketua Menteri dalam Dewan yang mulia ini.

Ini merupakan kali keempat Y.A.B. Ketua Menteri membentangkan suatu bajet yang berjiwakan rakyat dengan berlandaskan konsep 3M, iaitu Martabatkan Rakyat, Mesra Perniagaan dan Mantapkan Kedudukan Kewangan.

Walaupun defisit bajet bagi tahun depan adalah RM213.71 juta, namun kami yakin dengan “track record” yang dicatat bagi empat tahun yang lepas, kita berharap Kerajaan Negeri dapat mencatat sekali lagi lebihan bajet pada akhir tahun depan.

Dari segi bekalan, Jabatan Kewangan Negeri mencatatkan peningkatan tertinggi dan diikuti dengan Jabatan Taman Botani (31.48%) dan Jabatan Perhutanan (26%). Dari segi peruntukan pembangunan, Jabatan Kewangan Negeri juga mencatatkan peningkatan tertinggi (66.92%) dan diikuti dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (39.77%) dan Jabatan Taman Botani (28.34%).

Pengutipan Parking Taman Botani

Walaupun Jabatan Taman Botani diberi peruntukan yang lebih jikalau dibandingkan dengan tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 31.48% dari segi bekalan dan 28.34% dari segi pembangunan, saya amat hairan dengan keputusan Jabatan Taman Botani yang ingin mengenakan kutipan bayaran parking mulai 1 November 2011.

Pengumuman yang dibuat oleh Jabatan Taman Botani telah menimbulkan ketidakpuasan di kalangan pengguna-pengguna Taman Botani serta penduduk-penduduk yang menghuni di Park Avenue. Lebih-lebih lagi, Jabatan Taman Botani membenarkan pondok kutip bayaran parking didirikan di tengah-tengah jalan JKR yang menghala ke Taman Botani sehingga menyebabkan kemalangan yang melibatkan sebuah penunggang motosikal dan sebuah kereta. Mujurnya pelantar konkrit yang dibina untuk mendirikan pondok-pondok tersebut telah dirobohkan pada 30 Oktober 2011 sebelum berlakunya apa-apa kemalangan yang lebih serius lagi.

Kebenaran untuk pihak kontraktor iaitu Syarikat Perusahaan Muhibbi mendirikan pondok-pondok di tengah-tengah jalan tidak pernah direstui oleh Jabatan Kerja Raya yang merupakan penyelenggara jalan tersebut serta Pejabat Tanah Daerah Timur Laut memandangkan lokasi tersebut merupakan Tanah Kerajaan. Menurut Jabatan Taman Botani, pondok-pondok kutip bayaran parking didirikan di tempat tersebut, iaitu di hadapan Pusat Penjaja serta berdekatan dengan Park Avenue bertujuan untuk menyelesaikan masalah orang awam yang suka meletak kenderaan-kenderaan di tepi jalan menghala ke Taman Botani.

Akan tetapi, keadaan ini akan menyebabkan orang awam yang tidak ingin membayar wang parking akan meletakkan kenderaan-kenderaan mereka di hadapan Park Avenue serta kawasan tepi jalan sebelum pondok-pondok tersebut. Keadaan ini juga akan membawa kesulitan kepada penduduk-penduduk di sekitarnya, khasnya mereka yang menghuni di Park Avenue. Masa kutipan dari jam 6.00 pagi hingga 8.00 malam serta kadar bayaran yang ditetapkan, iaitu RM0.60 sejam untuk kereta, RM2.00 sejam untuk bas, RM1.00 sejam untuk teksi dan RM0.30 sejam untuk motosikal juga kurang munasabah serta menyulitkan pengguna-pengguna yang bersenam di Taman Botani setiap hari.

Saya dimaklumkan bahawa tender yang dipanggil merupakan keputusan yang dibuat di peringkat Jabatan Taman Botani tanpa berunding dengan Ahli EXCO Negeri yang bertanggungjawab terhadap portfolio tersebut. Hasilnya sebuah syarikat dilantik sebagai kontraktor bagi tujuan tersebut dan apa yang diperolehi oleh Kerajaan Negeri hanya sejumlah RM8,888.00.

Jikalau Kerajaan Negeri dapat memberi peruntukan yang lebih tinggi kepada Jabatan Taman Botani pada tahun depan, saya tidak lihat ada kewajaran bagi Jabatan Taman Botani melaksanakan sesuatu dengan pulangan yang kurang memberansangkan serta boleh menimbulkan ketidakpuasan di kalangan awam. Keputusan yang tidak wajar jikalau dibuat oleh sesebuah jabatan atau agensi Kerajaan Negeri juga akan menjejaskan imej Kerajaan Negeri secara keseluruhannya.

Saya ingin bertanyakan kerugian yang perlu ditanggung oleh Kerajaan Negeri jikalau tender tersebut dibatalkan dan apakah tindakan yang akan diambil terhadap pegawai-pegawai yang terlibat berikutan sesuatu keputusan tidak wajar telah dibuat.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home