Wednesday, 4 May 2011

Ucapan DUN (5)

Pasar Chowrasta

Pasar Chowrasta yang merupakan bangunan berwarisan kelas 2 juga perlu dinaiktaraf dengan secepat mungkin. Dengan peruntukan RM1 juta yang diperuntukkan oleh MPPP, jumlah ini sememangnya tidak mencukupi untuk penstrukturan semula pasar tersebut. Memandangkan terdapat pasar-pasar lain yang tidak memerlukan keseluruhan peruntukan yang disediakan oleh MPPP, maka saya ingin memohon supaya baki peruntukan yang tidak digunakan disalurkan terus kepada projek penaiktarafan Pasar Chowrasta.

Persimpangan Jalan Lim Eow Thoon dan Jalan Nirvana berdekatan dengan Taman Trafik merupakan kawasan yang amat rendah dan sering berlakunya banjir kilat. Sehingga kini, belum ada suatu jalan penyelesaian diambil oleh MPPP dan JPS untuk menangani masalah tersebut. Saya berharap supaya masalah tersebut dapat diatasi segera memandangkan banjir kilat di kawasan tersebut telah berlarutan berpuluh-puluh tahun.

Taman Trafik merupakan sesuatu tempat kegemaran penduduk-penduduk setempat untuk beriadah atau bersenam. Memandangkan jarangnya ada pertandingan peraturan-peraturan lalulintas dianjurkan di situ, saya ingin bercadang supaya tempat tersebut dijadikan sebagai Pusat Sumber Alam Sekitar melalui inisiatif Local Agenda 21 di bawah MPPP dengan kerjasama MMK Alam Sekitar. Dengan adanya pusat sumber tersebut, maka kita boleh membawa masuk mesin composting untuk menghasilkan baja daripada sisa-sisa makanan yang dikutip daripada setiap rumah di sini.

Keselamatan Awam

Kebelakangan ini, melalui Program NKRA, Pusat Bandar Georgetown telah dipasang dengan rel penghadang, ditingkatkan pencahayaan dan ditingkatkan rondaan polis sebagai sebahagian usaha yang diambil melalui Inisiatif Bandar Selamat. Walau bagaimanapun, saya ingin menarik perhatian pihak polis terhadap tahap keselamatan di Taman Trafik, di mana kawasan tersebut sering berlakunya kes-kes ragut yang telah menyebabkan kecederaan atau kehilangan harta benda.

Saya juga ingin memohon supaya CCTV, cermin keselamatan dan penggera keselamatan dapat dipasang di sekitarnya serta dibekalkan balai polis bergerak dan juga meningkatkan rondaan polis ke kawasan tersebut. Tahap keselamatan di Taman Trafik perlu dipertingkatkan lagi memandangkan warga-warga emas atau golongan wanita yang selalu dijadikan sasaran oleh peragut-peragut bermotosikal.

Penubuhan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) di bawah naungan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat membantu kita dalam meningkatkan tahap keselamatan di seluruh Negeri Pulau Pinang. Dengan adanya lebih banyak PPS ditubuhkan, saya amat yakin bahawa kadar jenayah kita akan turun dengan lebih mendadak lagi. Maka, kita dapat menikmati suatu suasana persekitaran yang lebih aman lagi selamat.

Kesimpulan

Dengan harapan yang menebal, saya menaruh keyakinan yang tinggi terhadap pemerintahan Pakatan Rakyat di Negeri Pulau Pinang. Walau bagaimanapun, jangan kita berpuas hati dengan apa yang telah kita capai sekarang. Janganlah kita anggap dengan pencapaian yang kita raih sekarang, sepastinya kita dapat terus memerintah Negeri Pulau Pinang.

Kita kena berusaha dengan lebih gigih lagi untuk menjangkaui pencapaian yang kita raih sekarang dan seterusnya merealisasikan impian kita untuk menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai sebuah bandaraya bertaraf antarabangsa. Dengan kata-kata ini, saya mohon menyokong.

Sekian, terima kasih.

Read more!

Ucapan DUN (4)

Perumahan Awam

Perumahan awam amat diperlukan di kawasan bandar Georgetown, khasnya di sekitar KOMTAR bagi menarik minat orang ramai untuk berhijrah balik ke Georgetown. Walaupun pemaju swasta tidak begitu sudi untuk melaksanakan projek perumahan kos rendah atau sederhana rendah di kawasan bandar atas factor kos yang mahal, tetapi Kerajaan Negeri, PDC atau MPPP masih mempunyai peranan untuk merealisasikan konsep tersebut.

Terdapat sebidang tanah kosong yang luas milikan MPPP di Jalan S.P. Chelliah dan juga di Jalan Sungai yang kini tanahnya masih dihuni oleh 27 rumah, difahamkan pihak MPPP telah melantik juru perunding untuk menjalankan kajian terhadap konsep pembangunannya. Memandangkan terdapat permintaan yang tinggi terhadap perumahan awam di kawasan bandar, saya ingin bercadang supaya sebahagian tanah tersebut dibangunkan sebagai perumahan kos sederhana rendah yang boleh dibeli melalui konsep sewa beli dengan adanya unsur komersil untuk menjanakan peluang-peluang kerjaya yang baru di kawasan tersebut.

Kerajaan Persekutuan bercadang untuk membuat pindaan ke atas Akta Bangunan dan Harta Bersama 2007 melalui persidangan Parlimen dalam bulan Jun yang akan datang. Akan tetapi, masalah penubuhan JMB bagi pegangan tanah jenis “private lease”, seperti di kawasan Farlim dan Tanjung Pinang masih belum dapat diatasi. Saya ingin bercadang supaya kajian dilakukan terhadap Peraturan-Peraturan Tanah Negeri Pulau Pinang (Penang Land Rules) supaya masalah tersebut dapat ditangani melalui pindaan ke atas peraturan-peraturan tersebut.

Tindakan penguatkuasaan perlu diambil oleh Pesuruhjaya Bangunan (COB) terhadap syarikat-syarikat pemaju yang mengingkari perintah COB dan juga syarikat pengurusan yang melanggari undang-undang. Terdapat banyak syarikat pemaju yang kini gagal mengemukakan penyata akaun yang telah diauditkan kepada COB tetapi tidak diambil tindakan oleh COB.

Terdapat juga syarikat pemaju yang gagal atau lewat menubuhkan JMB atau MC dalam tempoh yang ditetapkan tetapi tidak diambil tindakan oleh COB. Jikalau notis hanya dikeluarkan oleh COB kepada syarikat pemaju setiap kali selepas aduan diterima, maka pendekatan ini tidak akan menggalakkan skim-skim pemajuan berstrata untuk menubuhkan JMB atau MC dengan secepat mungkin.

Bagi kes di Pangsapuri Taman Hijau (Green Garden), Blok 1062 & 1066, Jalan Paya Terubong, syarikat pemaju lantikan bekas pemaju iaitu Nostalgia Kencana Sdn. Bhd. masih meneruskan operasinya walaupun syarikat pemaju iaitu Gelanggang Kemilau Sdn. Bhd. telah digulungkan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 4 Mac 2010 dan Pegawai Penerima Malaysia telah dilantik sebagai pelikuidasi.

Syarikat tersebut masih meneruskan operasinya walaupun pernah diambil tindakan penguatkuasaan oleh COB pada 28 Mac 2011 dengan merampas semua fail dan rekodnya untuk diserahkan kepada JMB yang sah penubuhannya. Saya berasa amat kesal dengan sikap Jabatan Insolvensi Malaysia yang enggan memberi kerjasama untuk mengambil tindakan terhadap syarikat tersebut serta menyita hartanah milikan bekas pemaju yang sedang diduduki oleh syarikat pengurusan yang tidak sah dilantik tersebut.

Perkara tersebut pernah saya bawa ke perhatian Jabatan Insolvensi Malaysia dan saya berharap supaya jabatan tersebut memainkan peranan yang lebih aktif supaya mereka turut dapat menjamin kepentingan pembeli-pembeli dengan mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab pada masa-masa yang difikirkan sesuai. Kerjasama di antara COB dengan Jabatan Insolvensi Malaysia perlu dieratkan lagi dan perundangan yang mengawal Jabatan Insolvensi juga perlu diperluaskan supaya peranan yang dapat dimainkan olehnya juga dapat diperluaskan lagi.

Hotel Bajet yang Haram

Di kawasan pusat bandar Georgetown, terdapat banyak premis hotel bajet yang tidak berlesen. Hotel bajet tersebut menghadapi kesusahan untuk mendapatkan lessen perniagaan atas sebab perundangan yang bercanggahan yang digariskan oleh pihak-pihak berkuasa. Jikalau sesuatu permohonan kebenaran merancang dikemukakan, pihak Bomba akan mewajibkan lantai hotel di tingkat atas perlu dibina dengan konkrit yang boleh menahan kebakaran selama dua jam manakala MPPP tidak akan membenarkan supaya lantai hotel ditukarkan kepada konkrit atas sebab sekatan terhadap bangunan-bangunan berwarisan.

Terdapat banyak permintaan yang saya terima daripada penduduk-penduduk yang menghuni di Tapak Warisan Sedunia supaya dibenarkan lantai rumah mereka bagi tingkat atas ditukarkan kepada konkrit. Jikalau lantai rumah mereka perlu dikekalkan dengan kayu atas sebab bangunan berwarisan, lantai yang terbina dengan kayu lebih mudah terbakar dan membahayakan nyawa jikalau berlakunya kebakaran ke atas premis-premis tersebut. Hanya dengan lantai konkrit, kita dapat memastikan penghuni-penghuni di dalamnya melarikan diri dalam masa yang tersingkat.

Jikalau hotel-hotel bajet haram yang tumbuh macam cendawan dapat ditangani dengan dikeluarkan lesen perniagaan ekoran permohonannya memenuhi kehendak-kehendak pihak-pihak berkuasa, maka kita dapat menjamin keselamatan tetamu-tetamu hotel yang menghuni di dalamnya. Pada masa yang sama, kita juga dapat menjana pendapatan tambahan kepada MPPP jikalau kesemua hotel bajet tersebut dapat dilesenkan. Maka, saya berharap supaya garis panduan yang terpakai sekarang dapat dilonggarkan supaya kesemua lantai hotel dapat ditukar menjadi konkrit.

Read more!

Ucapan DUN (3)

Pelbagai skandal dan pembohongan Barisan Nasional telah dipecahkan tembelang mereka selepas Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Skandal-skandal seperti kes Tang Hak Ju yang menyebabkan Kerajaan Negeri perlu membayar pampasan sebanyak RM40 juta, skandal Pulau Jerejak yang bernilai RM30 juta dengan RM10.6 juta premium tanah masih tidak dibayar oleh Syarikat Tropical Island Resort dan sebagainya.

Pembinaan Infrastruktur

Walaupun MOU telah ditandatangani dengan Syarikat Beijing Urban Construction Group (BUCG) untuk membuat kajian terhadap cadangan projek pembinaan tiga lebuhraya bertingkat atau berterowong di Pulau Pinang, termasuk satu terowong dasar laut yang menyambungi Butterworth, tetapi Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih menghadapi masalah dana yang mencukupi bagi menjalankan ketiga-tiga projek tersebut.

Jikalau pampasan yang dibayar kepada Tang Hak Ju dapat dijimatkan, premium tanah yang tidak dibayar oleh Syarikat Tropical Island Resort bagi skandal Pulau Jerejak dapat dikutip balik dan sebagainya, maka saya yakin Kerajaan Negeri mempunyai keupayaan tinggi untuk melaksanakan projek-projek tersebut dengan serta-merta. Walaupun MOU telah ditandatangani, tetapi tender terbuka masih akan dipanggil oleh Kerajaan Negeri untuk mengenalpasti kontraktor-kontraktor yang paling berkelayakan untuk menjalankan projek-projek tersebut selain daripada tujuan untuk menjimatkan wang rakyat.

Saya yakin dengan pelaksanaan projek-projek tersebut, dapatlah kita mengurangkan 30% hingga 40% kenderaan bermotor yang perlu melalui Pusat Bandar Georgetown setiap hari. Dengan ini, maka kita ada ruang untuk menyediakan lorong khas untuk kegunaan bas di tempat-tempat tertentu, khasnya semasa waktu pergi dan balik dari tempat bekerja. Jikalau lorong-lorong bas tidak disediakan di sepanjang jalan yang seringnya mengalami kesesakan lalulintas, maka keberkesanan sistem pengangkutan awam kita tidak akan dipertingkatkan lagi.

Laluan 704 & 705 RapidPenang

Mulai 1 April 2011, perkhidmatan bas RapidPenang bagi laluan 704 & 705 yang berulang-alik di antara KOMTAR, Megamall Pinang dan Bukit Mertajam telah diberhentikan, menyebabkan penumpang atau pengguna bas yang dapat menikmati perkhidmatan bas selama ini menghadapi pelbagai kesulitan.

Ekoran daripada itu, mereka yang menghuni di Bukit Mertajam atau Perai dan bekerja di Pulau Pinang, khasnya di kawasan sekitar KOMTAR perlu memandu dengan sendiri dan ini sedikit sebanyak akan menjejaskan usaha kita untuk menggurangkan bilangan kenderaan bermotor yang menggunakan Jambatan Pulau Pinang dengan pengenalan perkhidmatan Bridge Express Shuttle Transit (BEST) melalui perkhidmatan bas RapidPenang.

Baru-baru ini, saya telah menerima suatu memorandum yang telah ditandatangani oleh lebih 70 penumpang atau pengguna bas yang terlibat, menuntut supaya perkhidmatan bas tersebut dipulihkan semula dengan secepat mungkin. Memorandum tersebut telah saya sampaikan kepada RapidPenang tetapi tiada maklum balas diberikan sehingga kini.

Dengan itu, saya ingin menarik perhatian Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya memberi tekanan kepada RapidPenang untuk memulihkan semula perkhidmatan bas tersebut demi menjamin kemudahan pengguna-penggunanya.

Walaupun RapidPenang mungkin terpaksa menanggung kerugian bagi kedua-dua laluan tersebut, namun saya berharap RapidPenang dapat menunaikan tanggungjawab sosial korporatnya untuk memulihkan semula perkhidmatan bas tersebut, selaras dengan misinya untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam oleh rakyat Negeri Pulau Pinang serta merealisasikan visinya sebagai perkhidmatan pengangkutan awam yang digemari ramai.

Read more!

Ucapan DUN (2)

Legenda Pemerintahan C.A.T.

Pencapaian Negeri Pulau Pinang di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat merupakan suatu legenda bagi kita mencapai kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini. Ramai orang menyokong Pakatan Rakyat secara amnya dan DAP serta PKR secara khususnya atas sebab keyakinan mereka terhadap prestasi kita yang Cekap, Akauntabiliti dan Telus (C.A.T.) di Pulau Pinang.

Walaupun pemimpin-pemimpin Barisan Nasional termasuk Parti Cinta Malaysia (PCM) banyak menabur fitnah dan tohmahan terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk tujuan mempengaruhi pilihan pengundi-pengundi semasa berkempen di Sarawak, namun rakyat Sarawak dengan mata sendiri atau melalui internet atau kawan-kawan mereka yang menghuni di sini telah menyaksikan banyak perubahan yang positif di Negeri Pulau Pinang dan seterusnya memberi sokongan yang padu terhadap Pakatan Rakyat.

Mereka mendakwa bahawa rumah-rumah burung walit di Pulau Pinang dirobohkan dengan sesuka hati oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, premium tanah di Negeri Pulau Pinang adalah 40 kali jauh lebih mahal daripada Negeri Sarawak, Kerajaan Negeri tidak memberi keprihatinan terhadap penghuni-penghuni PPR yang miskin, meningkatkan tarif air dan sebagainya.

Dakwaan-dakwaan mereka adalah tidak benar atau separuh benar sahaja. Misalnya, mereka mendakwa premium bagi melanjutkan tempoh pegangan tanah untuk sebuah kedai di Georgetown adalah setinggi RM204,000.00. Sebenarnya, kebanyakan tanah di Georgetown merupakan pegangan kekal yang tidak perlu diperbaharui tempoh pegangannya. Di Georgetown yang merupakan Tapak Warisan Sedunia, hanya rumah-rumah burung walit yang tidak dilesenkan diambil tindakan oleh pihak penguatkuasa MPPP manakala yang berlesen tidak dikenakan sebarang tindakan.

Tindakan terhadap Rumah Burung Walit

Saya ingin memberi sokongan kepada Pihak Berkuasa Tempatan supaya tindakan-tindakan penguatkuasaan terhadap rumah-rumah burung walit yang tidak berlesen diteruskan walaupun terdapat bantahan yang kuat daripada operator-operator yang terlibat. Bagi saya, pengusaha-pengusaha tersebut merupakan golongan yang tidak menghuni dalam atau berdekatan dengan rumah burung walit manakala yang perlu menghadapi kacau ganggu setiap hari merupakan mereka yang menghuni berdekatan dengan rumah-rumah burung walit.

Saya banyak menerima rungutan daripada penduduk-penduduk setempat bahawa rumah-rumah burung walit telah membawa kacau ganggu terhadap kehidupan seharian mereka, khasnya pelajar-pelajar yang memerlukan suasana persekitaran yang sunyi untuk mengulangkaji pelajaran mereka dan juga pesakit-pesakit yang memerlukan masa rehat yang lebih mencukupi. Saya berharap tindakan dapat diteruskan untuk mengembalikan suatu suasana yang aman dan senyap kepada penduduk-penduduk setempat.

Jikalau tindakan sebegini tidak diambil sehingga status Georgetown dan Melaka sebagai Tapak Warisan Sedunia tergugat, siapa yang akan dipersalahkan? Bukan pihak lain tetapi Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan dipersalahkan. Garis Panduan bagi Mengawal Industri Burung Walit iaitu 1GP adalah digubal oleh Kerajaan Persekutuan dan diterima oleh Kabinet dan kemudiannya diperakui oleh Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT). Georgetown dan Melaka yang merupakan bandaraya bersejarah di Selat Melaka yang dinobatkan oleh UNESCO diarahkan oleh Timbalan Perdana Menteri supaya mengambil tindakan terhadap rumah-rumah burung walit yang haram dalam tempoh masa 3 tahun.

Apabila Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil tindakan terhadap rumah-rumah burung walit melalui MPPP, mengapa hanya operator-operator yang terlibat hanya menganjurkan demonstrasi terhadap Kerajaan Negeri dan bukannya terhadap Kerajaan Persekutuan. Walaupun ada ruang bagi Kerajaan Negeri tidak memakai keseluruhan 1GP yang telah digariskan, tetapi tidak eloklah jikalau Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri Melaka mengambil tiga jenis pendirian yang tidak konsisten terhadap rumah burung walit yang haram.

Mereka yang mendalangi demonstrasi adalah berlatarbelakangkan BN. Mereka hanya berani menganjurkan demonstrasi terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang walaupun 1GP bukanlah garis panduan yang digubal oleh Kerajaan Negeri. Lebih-lebih lagi, pemimpin-pemimpin MCA yang juga merupakan pengusaha-pengusaha rumah burung walit pernah menyertai proses penggubalan 1GP. Jikalau mereka boleh bersetuju dengan 1GP di peringkat persekutuan dan kini pula melemparkan ketidakpuasan mereka terhadap Kerajaan Negeri.

Read more!

Ucapan DUN (1)

Ucapan Y.B. Ng Wei Aik, Ahli Dewan Undangan Negeri bagi Kawasan KOMTAR semasa menyertai perbahasan ke atas Usul Terima Kasih kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang bersidang mulai 29 April 2011:

Terima kasih atas peluang bagi saya menyertai perbahasan ke atas ucapan Tuan Yang Terutama dalam persidangan Dewan yang mulia ini, yang mungkin kali terakhir diadakan sebelum pilihan raya umum yang akan datang.

Dalam tempoh tiga tahun yang lepas, kita telah menyaksikan betapa menariknya persidangan Dewan yang mulia ini dengan adanya penghujahan dan pertikaian di antara Barisan Kerajaan dan Barisan Pembangkang. Inilah semangat demokrasi yang kita sanjungi selama ini!

Kita juga menyaksikan pelbagai usaha yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mempertingkatkan kualiti demokrasi dan perundangan dalam negeri kita, termasuk menggubal Enakmen Kebebasan Maklumat Negeri Pulau Pinang yang akan dibentangkan dalam persidangan yang akan datang dan juga mendirikan sudut pemidato di Esplanade yang kini sudah genap setahun.

Kebebasan Media di Malaysia

Sempena Hari Kebebasan Media yang jatuh pada 3 Mei setiap tahun, saya ingin menggunakan kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Kebebasan Media kepada wartawan-wartawan kita, khasnya mereka yang sedang membuat liputan berita dalam Dewan yang mulia ini.

Walaupun wartawan-wartawan dan orang awam kini dapat menyaksikan persidangan DUN melalui siaran web secara langsung, namun kedudukan Malaysia pada Indeks Kebebasan Media sekali lagi jatuh dan kini berada di tangga ke-143 seperti yang diumumkan oleh Freedom House di Washington semalam.

Lebih sedih lagi, kedudukan Malaysia kini berada di tahap “Tidak Bebas” yang standing dengan Angola dan Madagascar manakala tahap kebebasan media bagi Indonesia, Filipina, Negeri Thai dan Cambodia kini adalah jauh lebih baik daripada kita.

Saya berharap lebih banyak usaha dapat diambil oleh Kerajaan Negeri serta Dewan yang mulia ini untuk meningkatkan lagi kualiti dan tahap demokrasi kita. Dewan yang mulia ini bukanlah suatu “rubber stamp” dan kita perlu memberi input yang bernas supaya apa yang salah dapat diperbetulkan dan apa yang benar perlulah diteruskan lagi.

Pengurusan Bukit Bendera

Pada 1 Mei 2011, Keretapi Bukit Bendera telah dipulihkan perkhidmatan awamnya selepas lebih setahun diberhentikan bagi memberi laluan kepada projek penaiktarafannya. Kini, operasi Keretapi Bukit Bendera terletak di bawah bidang kuasa Perbadanan Bukit Bendera yang ditubuhkan melalui suatu enakmen yang digubal oleh Dewan yang mulia ini.

Dengan penubuhan Perbadanan Bukit Bendera, kita berharap keseluruhan sistem dapat dipertingkatkan dan beroperasi dengan lebih lancar dan Bukit Bendera juga dapat dinaiktaraf dengan tertambahnya produk-produk pelancongan yang baru. Ini adalah salah satu objektif bagi penubuhan Perbadanan Bukit Bendera.

Namun demikian, didapati bahawa Perbadanan Bukit Bendera telah melantik mereka yang tiada kepakaran teknikal sebagai pengurus teknikal dan sebagainya. Terdapat mereka yang merupakan aktivis Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dilantik sebagai Pemangku Pengurus Teknikal manakala mereka yang sebelum ini pernah dihantar ke Switzerland untuk menjalani latihan tidak ditawarkan sebarang penggajian dalam Perbadanan Bukit Bendera. Adakah ini merupakan suatu pembaziran wang rakyat?

Apabila berdepan dengan pelawat yang terlampau banyak, keseluruhan sistem kita baik dari aspek kawalan trafik sehingga ke aspek penjualan tiket tidak dapat menampung permintaan pelawat-pelawat tersebut sehingga adanya pelawat yang pengsan akibat beratur terlalu lama di bawah matahari yang terik. Ini membuktikan perancangan yang kurang rapi akibat mereka yang tiada kepakaran dilantik ke perbadanan tersebut.

Premis yang telah disiapkan sebagai tempat letak kereta yang baru sehingga kini belum dapat beroperasi lagi akibat tiada sijil penyempurnaan dikeluarkan. Hanya dua kaunter tiket dibuka bagi menampung bilangan pelawat yang banyak. Tiada tanda arah dan laluan disediakan dengan baik bagi pelawat-pelawat yang pertama kali melawat ke Bukit Bendera.

Kita juga menerima rungutan daripada penjaja-penjaja di atas dan stesen bawah Bukit Bendera akibat mereka tidak ditawarkan tapak menjaja selepas siapnya projek penaiktarafan Keretapi Bukit Bendera. Pada asalnya, penjaja-penjaja terlibat diberhentikan dengan harapan bahawa mereka dapat beroperasi semula apabila perkhidmatan Keretapi Bukit Bendera dipulihkan semula.

Sekarang pula, mereka menghadapi masalah untuk terus berniaga walaupun mereka telah berniaga berpuluh-puluh tahun di sini. Mengapakah keadaan ini boleh berlaku? Saya difahamkan bahawa tapak penjaja tersebut pada seketika dahulu ingin dijadikan ruang pejabat bagi Pengurus Besar dan Pengurus Teknikal Perbadanan Bukit Bendera. Mengapakah berlakunya keadaan kelam-kabut sehingga dinafikan peluang penjaja-penjaja tersebut untuk terus berniaga? Saya berharap mereka dapat terus diberikan peluang untuk berniaga di sini.

Read more!