Tuesday, 30 March 2010

Teng Hock Nan Bertalam Dua Muka Lagi!

Kenyataan Media oleh Y.B. Ng Wei Aik, Setiausaha Pemuda Sosialis DAP Negeri Pulau Pinang pada 30 Mac 2010 (Selasa) di Georgetown, Pulau Pinang:

Pengerusi Gerakan Negeri Pulau Pinang yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan Dr. Teng Hock Nan bertalam dua muka lagi dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berbeza-beza pendirian terhadap peranan yang dimainkan oleh Dr. Mahathir Mohamad apabila menghadiri perhimpunan agung yang julang kali diadakan oleh Perkasa.

Dr. Teng terus mengutuk Dr. Mahathir dalam kenyataan Mandarin yang dikeluarkan olehnya manakala dalam versi kenyataan English memberi kepujian terhadap pemimpin-pemimpin Umno yang menjarakkan diri daripada Perkasa walaupun keseluruhan kenyataannya tidak menyebut Dr. Mahathir langsung.

Sangkaan Dr. Teng bahawa taktik-taktik sedemikian dapat membantu Gerakan untuk berkuasa semula di Negeri Pulau Pinang dan pada masa yang sama mengeratkan lagi hubungannya dengan Umno adalah tidak betul sekali. Ramai di antara kita akan tertanya-tanya apakah pendirian sebenar yang dipegang oleh Gerakan secara umumnya dan Dr. Teng secara khususnya.

Mengikut versi Mandarin, Dr. Teng dengan lantang mengutuk Dr. Mahathir bahawa kenyataannya “berbaur perkauman yang sengit dan tidak sedap didengari” serta menyifatkan Dr. Mahathir tidak berkelayakan untuk menjadi seorang negarawan. Jikalau Dr. Mahathir yang “berbaur perkauman yang sengit” dikutuk oleh Dr. Teng sekadar dalam media-media berbahasa Mandarin dan bukannya media-media berbahasa Melayu atau English, kenyataan-kenyataan sedemikian juga tidak sedap didengari.

Dr. Teng juga menyatakan bahawa kenyataan Dr. Mahathir akan dikutuk oleh DAP dan PKR serta membantu kedua-dua parti politik tersebut mengaut modal politik mereka. Kami ingin memberi teguran kepada Dr. Teng bahawa kenyataan beliau yang berdolak-dalik serta bertalam dua muka juga akan membantu DAP dan PKR dalam mengaut modal politik mereka.

Dr. Teng tidak berpuas hati terhadap Dr. Mahathir yang mengutuk slogan 1Malaysia yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri. Namun, segala-galanya yang terjadi-jadi tidak seiras atau seiring dengan slogan tersebut, di mana Najib tidak dapat menghalang pemimpin-pemimpin Umno seperti Dr. Mahathir untuk mengeluarkan kenyataan demi kenyataan yang berbaur perkauman.

Jikalau Perdana Menteri sekarang adalah Dr. Mahathir dan bukannya Najib, adakah Teng Hock Nan juga berani untuk mengutuknya secara terbuka? Pemuda Sosialis DAP menggesa Dr. Teng supaya berpegang teguh terhadap prinsip-prinsip politiknya dan bukannya mulut bercabang dua apabila terpaksa berhadapan dengan golongan sasaran yang berlainan.

Janganlah pemimpin-pemimpin Gerakan berlagak seperti Dr. Teng yang berfikiran sempit dan kolot sehingga sanggup memutarbelitkan rakyat kita dengan pendirian-pendirian politik yang berbeza-beza. Gerakan pastinya akan gulung tikar dengan adanya pemimpin-pemimpin semacam Dr. Teng!

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home