Thursday, 31 December 2009

Ibrahim Yahaya perlu letak jawatan sebagai Ketua Pengarah Penyiaran

Kenyataan Media oleh Y.B. Ng Wei Aik, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang pada 31 Disember 2009 (Khamis) di Georgetown, Pulau Pinang:

Saya amat hairan dengan kenyataan media terkini oleh Datuk Ibrahim Yahaya, Ketua Pengarah, Jabatan Penyiaran yang jelas bercanggahan dengan artikel “Ada Orang Nak Penjarakan Saya” yang ditulis olehnya dalam blognya pada 26 Disember 2009, di mana beliau cuba menafikan bahawa beliau pernah mendakwa pihak yang mengugutnya merupakan “seorang yang mengaku bekerja di pejabat Lim Guan Eng”.

Ibrahim Yahaya juga menafikan bahawa beliau cuba memfitnah sesiapa melalui tulisan dalam blognya. Namun demikian, segala dakwaan berbentuk fitnah dan tohmahan adalah jelas seperti kandungan artikel yang tersiar dalam blognya iaitu DUNIATIGER [http://duniatiger.blogspot.com] dan tidak dapat dinafikan oleh Ibrahim Yahaya dengan sewenang-wenangnya.

Artikel tersebut bukan sahaja mendakwa terdapat “seorang yang mengaku bekerja di pejabat Lim Guan Eng” telah mengugut untuk memenjarakan Ibrahim Yahaya malah juga berniat jahat untuk mengapi-apikan sentimen perkauman. Walau begitu, tiada seorang yang bekerja di Pejabat Ketua Menteri mengenali Ibrahim Yahaya dan macam mana mereka yang langsung tidak tahu siapanya Ketua Pengarah Penyiaran dapat mengugutnya? Ini merupakan dakwaan-dakwaan yang tidak bertanggungjawab sekali.

Apabila saya membuat laporan polis pada 29 Disember 2009, saya telah mencabar Ibrahim Yahaya supaya mendedahkan identiti orang yang mengugutnya supaya tindakan boleh diambil oleh Ketua Menteri Pulau Pinang terhadap kakitangan tersebut. Jikalau tidak, beliau sememangnya tidak lagi sesuai untuk memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Penyiaran dan perlu meletak jawatan tersebut dengan serta-merta.

Sehingga kini, Ibrahim Yahaya tidak dapat menunjukkan sebarang bukti untuk membuktikan identiti dan perlakuan orang yang mengugutnya. Malah, beliau cuba memberi penjelasan dengan alasan-alasan yang tidak masuk akal sekali. Ini menunjukkan bahawa Ibrahim Yahaya cuba membohong lagi supaya pembohongan yang direka olehnya tidak dapat dibongkarkan.

Terdapat dua kesalahan yang telah dilakukan oleh Ibrahim Yahaya, di mana kesalahan pertama adalah membohong bahawa terdapat “seorang yang mengaku bekerja di pejabat Lim Guan Eng” telah mengugutnya dan kesalahan kedua pula, membohong lagi supaya tembelangnya tidak dipecahkan. Adakah kita dapat menerima seorang Ketua Pengarah Penyiaran yang menerajui Radio dan Televisyen Malaysia menunjukkan sikapnya yang tidak bertanggungjawab sekali?

Dengan itu, Ibrahim Yahaya tidak lagi sesuai untuk memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Penyiaran dan perlu meletak jawatan tersebut dengan serta-merta, supaya kredibiliti RTM tidak terjejas ke tahap sekadar suatu jentera penerangan yang asyik menabur fitnah serta pembohongan.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home