Monday 28 December 2009

DAPSY Kutuk Siasatan Polis terhadap Lim Guan Eng dan Ean Yong Hian Wah

Kenyataan Media oleh Y.B. Ng Wei Aik, Setiausaha Publisiti Kebangsaan bagi Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) pada 28 Disember 2009 (Isnin) di Petaling Jaya, Selangor:

Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mengutuk tindakan polis yang menyiasat Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang dan Ean Yong Hian Wah, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dengan berdasarkan andaian serta tuduhan yang tidak masuk akal sekali.

DAPSY dalam mesyuarat Majlis Eksekutif Kebangsaan yang diadakan di Bahau, Negeri Sembilan semalam telah meluluskan resolusi bagi mengutuk pihak polis yang berperanan sebagai ejen Barisan Nasional sehingga perlunya membuat laporan polis sendiri supaya dapat menjalankan siasatan terhadap kedua-dua pemimpin DAP di bawah Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sehingga hari ini, tiada pihak lain selain daripada PDRM yang membuat laporan polis terhadap kenyataan Lim Guan Eng yang dikeluarkan semasa Konvensyen Pakatan Rakyat yang diadakan pada 18 Disember 2009 dan juga kenyataan Ean Yong Hian Wah pada 26 Disember 2009. Kita amat hairan kenapa pihak polis lebih sensitif daripada musuh politik kita terhadap kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin DAP?

Lebih-lebih lagi, kenyataan Ean Yong Hian Wah yang menggesa pihak polis supaya memberhentikan siasatan terhadap Lim Guan Eng telah ditafsirkan sebagai suatu tindakan yang cuba mengugut pihak polis. Kita tidak faham dengan PDRM yang secara tiba-tibanya bersikap lemah-lembut sehingga perlu takutkan kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin politik yang langsung tiada kuasa untuk membuat sesuatu terhadap polis.

Adalah tidak wajar dengan sikap polis yang hanya berminat untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin politik yang disokongi ramai dan bukannya penjenayah-penjenayah termasuk peragut, samseng jalanan, penyamun atau penjenayah pecah pintu yang jauh lebih mengugat keselamatan dan ketenteraman awam.

DAPSY kesal dengan polis yang cuba campur tangan dalam arena politik, termasuk mengambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin bukan Barisan Nasional manakala pemimpin-pemimpin UMNO seperti Datuk Ahmad Ismail, bekas Ketua UMNO Bukit Bendera yang pernah mengeluarkan kenyataan yang berbaur hasutan pula tidak didakwa ke mahkamah sehingga hari ini.

Ini tidak dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pasukan polis kita. Dengan itu, DAPSY menggesa supaya Ketua Polis Negeri Selangor supaya meletakkan fokus utamanya untuk membanteras jenayah dan bukan membanteras pemimpin politik dengan cara cuba mencari tulang dalam telur yang tidak bertulang.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home