Monday, 27 April 2009

Ucapan Perbahasan ke atas Rang Undang-Undang Enakmen Ketua Menteri (Pemerbadanan) 2009

Ucapan Perbahasan Y.B. Ng Wei Aik, Ahli Dewan Undangan Negeri bagi Kawasan KOMTAR ke atas Rang Undang-Undang Enakmen Ketua Menteri (Pemerbadanan) 2009 pada 27 April 2009 dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang:

Terima kasih, Tuan Speaker atas peluang yang diberikan bagi saya menyertai perbahasan ke atas Rang Undang-Undang Enakmen Ketua Menteri (Pemerbadanan) 2009 yang dibentangkan oleh Y.A.B. Ketua Menteri tadi.

Tuan Speaker,

Penubuhan Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang atau dalam singkatannya, CMI akan memberi dimensi baru kepada aktiviti-aktiviti pelaburan di Pulau Pinang. CMI akan memberi fokusnya terhadap apa-apa aktiviti pelaburan dan promosi pelaburan yang berpotensi untuk dimajukan bagi menjana ekonomi negeri kita.

Yang penting sekali, CMI akan memberi fokusnya terhadap komitmen Kerajaan Negeri untuk memelihara, melindungi dan mempromosi nilai warisan di Georgetown, khususnya selepas Georgetown disenaraikan sebagai Tapak Warisan UNESCO.

Semalam, Dewan-Dewan Perniagaan Bersama Pulau Pinang dalam memorandum yang dihantar kepada Kerajaan Negeri telah menyatakan bahawa Kerajaan Negeri kelihatan tiada hala tuju dan kurang berpandangan jauh dalam perancangannya untuk memulihara dan mempromosi nilai warisan di Georgetown. Keadaan ini kemungkinan besar akan menyebabkan status Georgetown sebagai Tapak Warisan UNESCO dilucutkan.

Ini merupakan kebimbangan warga-warga kota Georgetown, para pelabur, para peniaga serta badan-badan bukan kerajaan yang inginkan Kerajaan Negeri mengambil tindakan-tindakan proaktif dalam memangkinkan lagi Tapak Warisan Sedunia ini, termasuk juga bangunan-bangunan berwarisan yang terletak di luar Tapak Warisan Georgetown.

Tuan Speaker,

Memandangkan kebanyakan bangunan usang dalam lingkungan Tapak Warisan Georgetown adalah milikan persendirian, maka CMI dapat memainkan peranan yang aktif supaya menarik minat pelabur-pelabur asing dan tempatan untuk membuat pelaburan ke atasnya, termasuk memasuki usaha niaga komersial atau perusahaan, atau memasuki perkongsian atau usaha sama dengan mana-mana orang atau organisasi.

Walaupun Y.A.B. Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan sejumlah RM50 juta untuk tujuan pemuliharaan tapak warisan sedunia, di mana Georgetown dan Melaka yang diiktiraf sebagai “Bandar-Bandar Bersejarah Selat Melaka” oleh UNESCO masing-masing diperuntukkan RM25 juta bagi tujuan tersebut. Namun, sehingga hari ini, peruntukan tersebut masih belum disalurkan satu sen pun kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Jikalau tanpa sebarang inisiatif seperti CMI ditubuhkan untuk menjana sumber pendapatan tambahan bagi tujuan tersebut, maka Kerajaan Negeri terpaksa menunggu sahaja dana Kerajaan Persekutuan tersebut disalurkan yang sehingga kini tiada sebarang berita lagi, walaupun kertas cadangan bagi menentukan kegunaan peruntukan tersebut telah diluluskan oleh Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang dan dikemukakan kepada Jabatan Warisan Negara selepas itu.

Tuan Speaker,

Pemuliharaan Tapak Warisan Sedunia selalunya melibatkan kos perbelanjaan yang tinggi. Y.A.B. Ketua Menteri pernah memohon peruntukan RM251.6 juta, termasuk RM200 juta dalam bentuk pinjaman berfaedah rendah pada tahun ini. Pinjaman tersebut bertujuan untuk membantu pemilik-pemilik hartanah persendirian dalam lingkungan tapak warisan Georgetown memperbaiki dan menambahbaik lagi premis-premis mereka yang semakin usang, dan ada di antaranya yang mungkin runtuh jikalau tanpa sebarang kerja dilakukan dengan segera.

Sejak Akta Kawalan Sewa 1966 dimansuhkan oleh Kerajaan Persekutuan pada 1 Januari 2000, kadar sewa bagi bangunan-bangunan yang dibangunkan di Georgetown sebelum Perang Dunia Kedua telah melambung tinggi sehingga banyak penghuni yang asal telah berpindah ke kawasan-kawasan di luar Bandar Georgetown. Bagi penghuni-penghuni yang masih menghuni di sekitar Georgetown, mereka juga menghadapi masalah untuk mendapatkan sumber kewangan atau pinjaman bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan ke atas bangunan-bangunan usang tersebut.

Dengan itu, saya bercadang supaya CMI bekerjasama dengan pihak bank atau institusi kewangan yang sesuai supaya pinjaman dapat disediakan dengan kadar pinjaman yang rendah kepada pihak-pihak yang ingin membuat permohonan terhadapnya. Kerajaan Persekutuan pernah menyediakan pinjaman sedemikian bagi tujuan pemuliharaan bangunan-bangunan berwarisan namun kurang mendapat sambutan yang hangat daripada warga-warga Pulau Pinang atas sebab kadar faedah 4% yang dilihat sebagai suatu beban kewangan terhadap mereka yang berpendapatan kurang tinggi.

Saya berharap Kerajaan Negeri dapat mengambil ikhtibar daripada kegagalan tersebut supaya pinjaman dengan kadar faedah yang lebih rendah, seperti 1% atau 2% dapat disediakan oleh pihak bank kepada mereka yang memang memerlukannya untuk menjamin keselamatan nyawa sekeluarga mereka.

Tuan Speaker,

Kerja-kerja yang perlu dilakukan oleh Kerajaan Negeri termasuklah memulihara kedai-kedai, rumah-rumah ibadat dan tugu peringatan serta kerja-kerja landskap. Selain daripada kerja-kerja fizikal, kita juga menggiatkan lagi usaha-usaha bagi penggalakkan pelancongan serta aktiviti-aktiviti kebudayaan untuk menyuntik idea-idea yang baru serta nafas baru ke dalam tapak warisan Georgetown.

Sehingga kini, adakah sebarang aktiviti telah dirancang untuk meraikan 7 Julai tahun ini yang merupakan ulang tahun pertama bagi Georgetown disenaraikan sebagai Tapak Warisan Georgetown? Saya berharap dengan penubuhan Penang Global Tourism Sdn. Bhd. dan CMI yang bakal diluluskan ini, kita dapat menganjurkan pelbagai jenis program untuk menarik minat pelancong ke sini, di samping meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan memulihara bangunan-bangunan bersejarah dan warisan kita.

Tuan Speaker,

Di Melaka, kita ada Jonker Street. Di Singapura, kita ada Orchard Road. Di Bangkok, kita ada Khaosan Road. Di Xiamen yang merupakan Bandar Berkembar (Sister City) Pulau Pinang, kita ada Zhongsan Road. Tetapi di Pulau Pinang, kita mempunyai Penang Road yang kehilangan daya tarikannya, jikalau dibanding dengan tahun 1980-an dan 1990-an.

Penang Road merupakan satu-satu jalannya di Pulau Pinang yang dapat menonjolkan dan melambangkan identiti bandar Georgetown. Jikalau usaha-usaha tertentu dapat dilakukan untuk memulihkan Penang Road, termasuk jajaran mulai Times Square sehingga ke Upper Penang Road selaras dengan projek pemulihan KOMTAR yang kita sedang usahakan serta membangunkan kawasan di sekitar Pasar Chowrasta sebagai bazar malam dengan mengilhamkan Shi Lin Night Bazaar di Taipei, Taiwan, maka saya percaya rakyat kita pasti bangga dengan Penang Road, seperti rakyat Singapura yang sering bangga dengan Orchard Road di Singapura.

Seperti CMI atau MBI yang telah ditubuhkan di negeri-negeri yang lain, penubuhan CMI seperti yang terkandung dalam rang undang-undang ini sememangnya membolehkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang melibatkan diri secara langsung dalam pelbagai aktiviti-aktiviti perniagaan yang lain, namun saya berharap CMI yang kita bakal tubuhkan dapat menumpukan segala usahanya terhadap pemuliharaan, pembangunan dinamik serta promosi warisan tapak Georgetown supaya status kita sebagai Tapak Warisan Sedunia dapat dikekalkan selama-lamanya.

Dengan ini, saya mohon menyokong rang undang-undang ini diluluskan.

Sekian, terima kasih.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home