Tuesday 21 April 2009

Ucapan Perbahasan (3)

Atendan Letak Kereta Haram

28. PBT tidak memandang serius terhadap atendan letak kereta haram yang bermaharajalela di sekitar kawasan bandar, seperti di Upper Penang Road, Taman Reservoir, Jalan Macalister, Jalan Masjid Kapitan Keling, Lebuh Campbell, Esplanade, Lebuh Chulia di bahagian pulau; dan Seberang Perai pula, berdekatan dengan Padang MPSP di Butterworth, sekitar Megamall Pinang di Perai dan sebagainya.

29. Rekod menunjukkan hanya satu atendan letak kereta haram yang ditangkap pada tahun 2007 dan 13 ditangkap pada tahun 2009 oleh MPSP yang tertubuhnya unit polis bantuan. Bagi MPPP yang tidak tertubuhnya polis bantuan, maka telah dinyatakan bahawa Majlis tidak mempunyai bidang kuasa di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Kerajaan Tempatan 1976, Minor Offences Act atau Undang-Undang Kecil yang lain untuk mengambil tindakan terhadap atendan letak kereta yang haram.

30. Dinyatakan bahawa Perintah Letak Kereta (Sistem Meter) dan Sistem Bertiket MPPP dikuatkuasakan oleh Penguatkuasa MPPP. Kedua-dua perintah tersebut dibuat di bawah Bahagian III Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang menetapkan di bawah Seksyen 72 perkara-perkara yang boleh diperuntukkan di bawah perintah berkenaan. Namun, dinyatakan bahawa isu berkaitan dengan kawalan atendan letak kereta haram tidak diperuntukkan di bawah Seksyen 72. Oleh itu, ianya tidak menjadi satu kesalahan di bawah kedua-dua perintah berkenaan.

31. Ini bermakna pegawai penguatkuasa tidak boleh mengambil tindakan terhadap atendan letak kereta haram selain daripada melaporkan kepada pihak polis dan meminta polis mengambil tindakan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan. Walaupun begitu, apabila saya memohon bantuan polis dalam konteks ini, polis pula mendakwa bahawa tanggungjawab tersebut sepatutnya dipikul oleh MPPP tanpa membebankan pihak polis yang sepatutnya lebih fokus terhadap pembanterasan jenayah.

32. Ini lagi suatu contoh yang menunjukkan bahawa MPPP sedang memakai penakrifan undang-undang yang sempit sehingga akhirnya menjejaskan prestasi sendiri dalam mata awam. Adakah MPPP boleh terlepas tanggungjawabnya untuk mengambil tindakan terhadap atendan letak kereta yang haram? Jawapannya tidak.

33. Mengapakah undang-undang kecil yang sedang dipakai oleh MPPP tidak boleh dipinda untuk membolehkannya mengambil tindakan terhadap golongan tersebut? Walau bagaimanapun, penguatkuasa MPPP masih boleh melakukan tangkapan orang awam (citizen arrest) terhadap atendan letak kereta haram lalu diserahkan kepada pihak polis untuk ditangkap semula seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 27, Kanun Prosedur Jenayah.

34. Sistem letak kereta yang MPPP pakai sekarang juga perlu dirombak, termasuk membatalkan sistem perlantikan kontraktor letak kereta serta mengambil tindakan yang tegas terhadap tapak letak kereta persendirian yang tidak berlesen. Hanyalah dengan sistem letak kereta dirombak, tambahan dengan penguatkuasaan yang berkesan, masalah berkenaan dengan atendan letak kereta yang haram dan kontraktor letak kereta yang menjalankan kerja di luar batasan mereka barulah dapat ditangani.


Tindakan TNB terhadap Pengusikan Jangka

35. Pada tahun 2006/2007, terdapat lebih kurang 3,000 pengguna TNB di Negeri Pulau Pinang didakwa mencuri elektrik dengan mengusik jangka meter mereka di mana kebanyakan alasan adalah “terdapat wire by-pass di dalam meter antara incoming dan outgoing”, di mana jumlah tuntutan TNB melebihi RM18 juta.

36. Kebelakangan ini, terdapat banyak pengguna telah menerima notis tuntutan daripada pihak TNB bahawa bekalan elektrik akan dipotong jikalau bayaran tunggakan tidak dibayar. Ada yang menerima notis TNB bahawa kes mereka telah diserahkan kepada bahagian undang-undang TNB untuk tindakan pendakwaan.

37. Ramai pengguna masih tidak berpuas hati dengan tindakan TNB, khasnya pemeriksaan TNB yang tidak mematuhi prosedur serta memasuki premis pengguna mereka tanpa kebenaran walaupun kebanyakan kes tersebut merupakan kes-kes yang lama. Lebih-lebih lagi, terdapat banyak kes di mana bil elektrik sebelum dan selepas pemeriksaan dibuat tidak menunjukkan perbezaan yang ketara dalam penggunaan elektriknya.

38. Jikalau dakwaan bahawa jangka meter diusik adalah benar, maka bil elektrik bulanan bagi pengguna tersebut sepatutnya bertambah. Jika diambil suatu contoh, terdapat seorang pengguna yang didakwa mencuri elektrik dan jumlah tuntutan TNB adalah RM10892.72 bagi tempoh 38 bulan yang lepas. Ini bermaksud pengguna tersebut kurang membayar RM286.00 setiap bulan. Namun, bil elektriknya masih kekal pada RM210 - RM230 sebulan.

39. Apabila kes ini dirujuk kepada TNB, alasan mereka pula bacaan meter dan penggunaan elektrik boleh dikawal walaupun pemeriksaan telah dibuat. Adakah ini sesuatu alasan yang boleh menyakinkan semua? Alasan tersebut tidak masuk akal sekali, seolah-olah apa yang dilakukan oleh TNB tidak akan salah manakala pengguna semuanya adalah salah.

40. Disebabkan TNB merancang untuk mengambil tindakan secara besar-besaran terhadap pengguna-pengguna TNB dalam masa terdekat, saya berharap pihak kerajaan dapat mengambil suatu pendirian tegas supaya kesemua tindakan TNB ditangguhkan supaya suatu kaedah penyelesaian dapat dicapai di antara kedua-dua pihak, ataupun dengan cara yang lain, Kerajaan Negeri mengumumkan suatu pengampunan (amnesty) di mana semua pengguna yang didakwa mencuri elektrik terus membayar amaun tunggakan 3 bulan tanpa TNB melanjutkan kes tersebut ke mahkamah.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home