Tuesday, 21 April 2009

Ucapan Perbahasan ke atas Usul Terima Kasih bagi Ucapan TYT

Mukadimah

1. Tuan Speaker, terima kasih atas peluang yang diberikan bagi saya menyertai perbahasan ke atas ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang sempena perasmian mesyuarat pertama penggal yang kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang keduabelas.

2. Sudah setahun Pakatan Rakyat memerintah, rakyat jelata inginkan lebih banyak perubahan dilakukan ke atas sistem pemerintahan ini walaupun mereka penuh dengan harapan terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah kepimpinan Y.A.B. Ketua Menteri.

3. Dalam tempoh setahun yang lepas, kita telah menyaksikan pelbagai dasar yang baru yang merangkumi semua aspek digubal oleh kerajaan ini, termasuklah memperkenalkan urustadbir yang berpandukan prinsip-prinsip Cekap, Akauntabel dan Telus (C.A.T.) di samping memberi layanan yang adil dan saksama terhadap keperluan asas semua kaum.

4. Lebih-lebih lagi, Kerajaan Negeri telah menunjukkan sikapnya yang berani dengan mensasarkan supaya kemiskinan tegar dihapuskan dalam tempoh pemerintahan yang singkat yang kurang genap setahun.

5. Ini merupakan sesuatu yang tidak mungkin dicapai oleh Barisan Nasional walaupun telah diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah negara ini, termasuk Negeri Pulau Pinang dalam tempoh 51 tahun yang lepas.

6. Syabas, Pakatan Rakyat!


Kemiskinan Tegar

7. Ini tidak bermakna bahawa Barisan Nasional tidak prihatin terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh golongan miskin tegar. Lihatlah apa yang berlaku pada Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) yang dikelolakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPPT).

8. Di Pulau Pinang, kerja-kerja penyelarasan bagi program tersebut adalah terletak di bawah Unit Penyelarasan Pembangunan. Bantuan yang diberikan termasuklah bantuan sewa rumah, bantuan kemasukan ke sekolah / institusi pengajian tinggi (IPT), bantuan kos pengangkutan ke sekolah, bantuan kos jagaan kanak-kanak ke taska/tadika/jiran individu, bantuan kos pengangkutan ke tempat kerja, bantuan kos rawatan dialisis buah pinggang.

9. Kebelakangan ini, difahamkan suatu arahan telah disampaikan oleh pihak atasan bahawa kesemua permohonan bagi PPKB yang diterima di Negeri Pulau Pinang tidak akan diproseskan sehingga awal tahun 2010 atas sebab yang agak aneh, iaitu atas sebab negeri ini diperintah oleh Pakatan Rakyat.

10. Apabila ditanya secara lebih lanjut, sebab yang lain telah diberikan. Kali ini, alasannya pula sistem komputer Unit Penyelarasan Pembangunan sedang dinaiktarafkan dan proses ini dijangka berlanjutan sehingga akhir tahun ini.

11. Adakah udang di sebalik batu, di mana kita terpaksa menunggu lebih setengah tahun supaya sistem komputer dapat dipertingkatkan tanpa perlu membuat sebarang kerja supaya semua permohonan yang telah diterima dapat diproseskan? Adakah golongan miskin tegar berupaya untuk menunggu tempoh yang begitu panjang tanpa sebarang bantuan dihulurkan kepadanya?

12. Inilah sikap Barisan Nasional yang berbeza langsung dengan Pakatan Rakyat! Barisan Nasional menghulurkan bantuan terhadap golongan miskin tegar untuk tujuan politiknya sahaja, manakala Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat terus berusaha untuk mencari dan menghubungi setiap warga miskin tegar tanpa mengambil kira di mana mereka tinggal dan apakah latar belakang politik mereka.

13. Sebelum itu, terdapat segelintir pegawai kebajikan lantikan MCA secara berkontrak cuba sabotaj Kerajaan Negeri dalam mencapai sasaran miskin tegar sifar. Ini merupakan sikap kurang profesional dan tidak neutral yang tidak patut ditunjukkan oleh seorang kakitangan awam. Persoalannya, adakah sebarang tindakan disiplin telah diambil terhadap mereka?

14. Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk melucutkan kesemua pegawai kebajikan yang berlatarbelakangkan parti politik supaya kakitangan-kakitangan awam kita dapat menunjukkan profesionalisme dan bersikap bebas dalam menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka?

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home