Wednesday, 25 March 2009

Keselamatan KOMTAR ketika Earth Hour dipertingkatkan lagi

Kenyataan Media oleh Ng Wei Aik, Ahli Dewan Undangan Negeri bagi KOMTAR selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan KOMTAR pada 25 Mac 2009 (Rabu) di Georgetown, Pulau Pinang:

Tahap keselamatan KOMTAR akan dipertingkatkan apabila lampu-lampu bangunan KOMTAR akan dipadamkan sempena “Earth Hour 2009” yang jatuh pada 28 Mac 2009 (Sabtu) mulai jam 8.30 malam hingga 9.30 malam.

Saya telah bermesyuarat dengan pihak PDRM, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, PDC Setia Urus Sdn. Bhd., wakil Prangin Mall, wakil Pacific KOMTAR pada pagi ini bagi membincangkan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil.

Pihak PDRM akan menggerakan sebuah MPV (kereta peronda) untuk mengadakan rondaan di sekitar KOMTAR, bagi tujuan meningkatkan lagi tahap keselamatan bagi kedai-kedai emas di KOMTAR dengan bantuan pengawal keselamatan KOMTAR.

Mesyuarat bersetuju bahawa lampu-lampu bagi terminal bas KOMTAR, tiga tempat letak kereta yang sedia ada di KOMTAR dan sebuah lagi tempat letak kereta di Prangin Mall tidak akan dipadamkan.

Bagi peniaga-peniaga di KOMTAR dan Prangin Mall, mereka diberi pilihan untuk memadamkan sebahagian lampu kedai atau tidak. Jikalau mereka ingin padamkan lampu, maka mereka boleh menutup sebahagian pintu kedai untuk kawalan keselamatan.

Badan Pengurusan Bersama bagi Prangin Mall dan PDC Setia Urus Sdn. Bhd. akan mengeluarkan notis kepada semua peniaga di KOMTAR dan Prangin Mall sebagai peringatan bagi perkara-perkara yang perlu diberi perhatian dalam tempoh itu, termasuk juga cara-cara untuk menghubungi pihak polis jikalau berlakunya sesuatu kejadian.

PDC Setia Urus Sdn. Bhd., Prangin Mall dan Pacific KOMTAR akan memanggil balik semua pengawal keselamatan mereka untuk bertugas pada malam itu. Pacific KOMTAR juga akan mengambil kakitangan tambahan bagi meningkatkan lagi keselamatan bagi ruang perniagaannya.

Semua jabatan atau agensi kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan di KOMTAR akan mengambil bahagian dalam inisiatif ini, di mana lampu neon yang dipasang atas bumbung KOMTAR akan dipadamkan manakala lampu-lampu yang dipasang untuk tujuan keselamatan penerbangan tidak akan dipadamkan.

Selain daripada KOMTAR, saya bercadang pihak polis supaya memberi perhatian terhadap keselamatan di sekitar pusat membeli-belah, hotel, kawasan perindustrian, kawasan perbankan dan setiap destinasi pelancongan.

Pada masa yang sama, saya juga menyeru pasukan keselamatan sukarela supaya mengadakan rondaan di seluruh negeri Pulau Pinang demi membantu pihak polis dan Kerajaan Negeri dalam menjaga keselamatan kita semua.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home