Wednesday, 5 May 2010

Ucapan Perbahasan ke atas Ucapan TYT - (3)

PEMASANGAN CCTV

Dato’ Speaker,

Saya amat terkejut dengan pengumuman MPPP dalam bulan Februari 2010 bahawa MPPP akan menggubal suatu garis panduan dalam tempoh 6 bulan sehingga Ogos 2010 untuk mewajibkan operator tempat letak kereta awam milikan swasta memasang CCTV demi menjamin keselamatan penggunanya.

Jikalau tempoh enam bulan yang panjang diperlukan untuk penggubalan garis panduan serta dua bulan untuk pembentangan ke Jawatankuasa dan kelulusan Majlis Penuh dan kemudiannya tiga bulan lagi untuk pemasangan CCTV, dapatkah kita pasti bahawa semua operator tempat letak kereta memasang CCTV dalam tahun ini sebelum permit mereka dapat diperbaharui.

Jawapannya adalah tidak. Jikalau CCTV tidak dapat dipasang dalam masa yang singkat sehingga berlakunya sebarang insiden yang tidak diingini yang mungkin melibatkan kehilangan nyawa, MPPP pastinya akan diambil tindakan undang-undang oleh keluarga mangsa atas kelewatan kita dalam menggubal suatu garis panduan yang perlu dipatuhi oleh semua operator tempat letak kereta awam.

Sebenarnya, kelewatan bagi MPPP mewajibkan semua operator tersebut memasang CCTV tidak harus berlaku. Sejak tahun 2008, Y.A.B. Ketua Menteri telah mengarahkan MPPP supaya membuat suatu ketetapan baru untuk tujuan tersebut, di mana semua operator yang tidak mematuhi kehendak tersebut akan permit mereka dibatalkan dan juga diambil tindakan seal terhadap tempat letak kereta mereka.

Jikalau arahan Y.A.B. Ketua Menteri tidak dapat dilaksanakan sehingga hari ini, maka boleh dikatakan bahawa terdapat pegawai MPPP yang tidak mengambil perhatian serius terhadap perkara ini. Maka, pegawai MPPP yang tidak kompeten dan seterusnya tidak memenuhi kehendak C.A.T. perlu diambil tindakan terhadapnya.

Pada masa yang sama, MPPP perlu mempercepatkan proses penggubalan garis panduan untuk tujuan pemasangan CCTV di tempat letak kereta awam. Terdapat juga banyak tempat letak kereta baru yang tidak pernah memohon permit atau tidak diluluskan permit namun tiada tindakan diambil. Keadaan ini jikalau tidak dipandang serius oleh pihak Majlis akan menjejaskan keselamatan pengguna-penggunanya.

Terdapat operator-operator tertentu yang mengenakan kadar bayaran letak kereta yang terlampau mahal sehingga mengakibatkan ketidakpuasan di kalangan pengguna-penggunanya. Saya ingin menggunakan kesempatan ini untuk bercadang supaya pihak Majlis membuat kajian sama ada kadar ceiling bagi bayaran letak kereta boleh dikenakan terhadap operator-operator tempat letak kereta yang sedia ada.

Ucapan TYT ada menyebut tentang Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bandar Pulau Pinang. Ingin saya nak tanya mengapakah banjir kilat masih berlaku di kawasan pusat bandar Georgetown, khasnya di kawasan sekitar Jalan Nirvana dan Jalan Lim Eow Thoon dekat Taman Lalulintas serta Jalan Westlands dan Jalan Khaw Sim Bee dekat Sekolah Kebangsaan Pykett Methodist walaupun projek S-18 oleh JPS telah disempurnakan?

Dato’ Speaker,

Saya amat berprihatin dan khuatir dengan cadangan Kerajaan Persekutuan untuk mengambil alih perkhidmatan pengendalian sisa pepejal di Negeri Pulau Pinang melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal (PPSP), di mana kegagalan-kegagalan episod Indah Water Konsortium yang ditubuhkan pada tahun 1994 untuk mengambil alih operasi pembentungan yang sebelum ini diuruskan oleh 144 pihak berkuasa tempatan selama 28 tahun kemungkinan besar akan berulang lagi.

PENGURUSAN SISA PEPEJAL

Saya amat hairan apabila difahamkan bahawa Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam yang telah diluluskan oleh Parlimen pada tahun 2007 belum dikuatkuasakan lagi. Jikalau begitu, apakah rasionalnya bagi Kerajaan Negeri memutuskan untuk memohon lesen daripada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara yang masih merupakan suatu entiti yang haram bagi tujuan menguruskan operasi tersebut dengan sendiri.

Asas-asas yang digunakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengambil alih perkhidmatan pengendalian sisa pepejal adalah ketidakupayaan Pihak Berkuasa Tempatan dalam pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dan juga untuk mengelakkan pencemaran alam sekitar. Namun, MPPP dan MPSP dalam konteks Negeri Pulau Pinang tidak menghadapi masalah ketidakupayaan untuk mengendalikan operasi tersebut.

Sebaliknya, adakah syarikat E-Idaman yang bakal dilantik berupaya untuk mengendalikan perkhidmatan tersebut pula merupakan suatu tanda tanya yang belum dapat dijawab buat masa kini. Syarikat E-Idaman tidak semestinya memiliki segala kepakaran dan keupayaan untuk mengendalikan sisa pepejal. Mereka hanya melakukan kerja-kerja tersebut dengan kakitangan-kakitangan MPPP atau MPSP yang sedia ada yang telah diambil alih oleh mereka.

Selain daripada itu, kedua-dua PBT perlu menyerahkan kos operasi yang dianggarkan sebanyak RM180 juga hingga 200 juta setahun kepada syarikat E-Idaman. Logiknya adalah PBT perlu mengutip cukai taksiran yang sebahagiannya merupakan kos pengendalian sisa pepejal akan disalurkan kepada syarikat konsesi tanpa perlu syarikat E-Idaman mengutip wang dengan sendiri.

Jikalau prestasi syarikat konsesi atau kontraktornya kurang atau tidak memuaskan, siapa pula yang akan dipertanggungjawabkan? Mengapa PBT yang selama ini kutip cukai untuk membiayai perkhidmatan tersebut perlunya dilucutkan hak dan bidang kuasanya untuk melakukan pemantauan ke atas syarikat konsesi, termasuk menamatkan perkhidmatan syarikat yang kurang berprestasi serta mengambil tindakan-tindakan penguatkuasaan terhadap sesiapa yang tidak membuang sampah sarapnya dengan cara yang betul?

Dato’ Speaker,

PPSP hanya berminat untuk menswastakan pengurusan sisa pepejal yang melibatkan perkhidmatan untuk sisa pepejal isi rumah dan yang serupa dengannya. Perkhidmatan untuk sisa pepejal yang lain seperti sisa pepejal pembinaan dan komersil masih terbuka kepada pihak yang berminat. Jikalau tiada mana-mana pihak yang berminat, siapakah lagi jikalau bukan PBT yang kena bertanggungjawab?

Mengikut PPSP, pembinaan dan pengendalian kemudahan juga tidak termasuk dalam penswastaan. Maka, siapakah lagi jikalau bukan PBT yang kena bertanggungjawab? Itulah suatu model perniagaan yang untung sebelah sahaja, di mana rakyat dan Kerajaan Negeri yang disokong oleh rakyat merupakan pihak yang tidak dimanfaatkan.

Pengambilalihan oleh PPSP di mana kesemua kakitangan MPPP atau MPSP yang mengendalikan sisa pepejal dan pembersihan awam perlu diserapkan secara paksa ke dalam syarikat E-Idaman juga amat merugikan kakitangan-kakitangan tersebut. Mereka akan kehilangan faedah pencen dan juga faedah-faedah kerja yang lain.

Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam juga memperuntukkan hanya mereka yang telah diberi lesen sahaja boleh menjalankan apa-apa perkhidmatan sisa pepejal, mengurus kemudahan sisa pepejal ataupun menjalankan perkhidmatan pembersihan awam.

Dalam kata lain, mana-mana pihak yang bukan pertubuhan-pertubuhan kebajikan yang menjalankan perniagaan untuk mengutip balik secara beli suratkhabar-suratkhabar lama atau sisa-sisa pepejal yang boleh dikitar semula tanpa kacauganggu selama ini akan diambil tindakan oleh PPSP. Adakah golongan ini dilayani secara adil oleh Kerajaan Persekutuan yang lebih mengutamakan kepentingan-kepentingan kroni sahaja?

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home