Wednesday, 5 May 2010

Ucapan Perbahasan ke atas Ucapan TYT - (1)

Ucapan Perbahasan oleh Y.B. Ng Wei Aik, Ahli Dewan Undangan Negeri bagi Kawasan KOMTAR ke atas Ucapan Perasmian Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang pada 4 Mei 2010 (Selasa) di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang:

Dato’ Speaker,

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ribuan terima kasih atas peluang yang diberikan bagi saya membahaskan ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang semasa merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang semalam.

MUKADIMAH

Persidangan DUN kali ini amat bermakna sekali atas sebab 3hb Mei 2010 iaitu Hari Kebebasan Akhbar Sedunia telah dipilih sebagai hari pertama persidangan. Buat kali pertamanya, Ahli-Ahli Yang Berhormat yang berjiwakan rakyat telah memakai reben kuning dalam Dewan yang Mulia ini sebagai tanda kita menyokong perjuangan wartawan-wartawan dalam mendukung prinsip-prinsip kebebasan media selama ini.

Pagi ini, kita telah melancarkan Sudut Pidato atau lebih dikenali sebagai Speakers’ Corner di Esplanade. Ini merupakan Sudut Pidato pertama yang didirikan oleh Kerajaan Negeri walaupun kita terpaksa menghadapi segala rintangan di mana kuasa perundangan yang ada pada pihak polis masih tidak berubah.

Namun begitu, kita tidak berputus asa dan mujurlah suatu hari nanti dengan perubahan iklim politik yang bakal berlaku, Sudut Pidato kita dapat bermodelkan apa yang sedang berlaku di Hype Park, London. Hanyalah pada saat-saat tersebut, rakyat kita baru dapat menikmati kebebasan berucap, kebebasan berhimpun dan kebebasan berpersatuan yang sebenar.

HALA TUJU PENTADBIRAN

Dato’ Speaker,

Ucapan perasmian Tuan Yang Terutama semalam telah menggariskan hala tuju pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat yang turut merangkumi kewangan dan pembangunan negeri, pembangunan industri dan pelaburan, pengangkutan dan pengurusan lalulintas, pembangunan pelancongan, pembangunan pertanian dan asas tani, pembangunan pendidikan, perumahan, kebajikan, kesihatan dan kemiskinan sifar, kemampanan alam sekitar, memartabatkan agama Islam, kecemerlangan sukan dan belia, hal-ehwal wanita, pihak berkuasa tempatan dan sebagainya.

Ini menunjukkan keseimbangan aspek-aspek yang dititikberatkan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang berikhtiar untuk merealisasikan wawasannya sebagai sebuah negeri bertaraf antarabangsa. Baru-baru ini, Georgetown telah dipilih oleh ECA International sebagai bandaraya kelapan di Asia yang paling gemar dihuni oleh ekspatriat.

PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA

Ini merupakan suatu lagi pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha-usaha yang sedang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk memulihkan kegemilangan Georgetown sebagai ibu kota Negeri Pulau Pinang, selain daripada dinobatkan sebagai tapak warisan sedunia oleh UNESCO pada tahun 2008.

Dato’ Speaker,

Untuk sepuluh tahun yang lepas, dengan pemansuhan Akta Kawalan Sewa 1966, populasi Georgetown telah menurun secara mendadak dan seterusnya menjejaskan daya tarikan dan status Georgetown sebagai ibu kota Negeri Pulau Pinang. Keadaan ini menjadi lebih serius lagi menjelang waktu malam, di mana kebanyakan kedai di pusat bandar berhenti operasinya selepas jam 6.00 atau 7.00 petang.

Justeru itu, wujudlah CBD atau Central Business District yang baru, seperti Gurney Drive, Bandar Bayan Baru atau Bandar Baru Air Itam manakala Georgetown telah kehilangan daya tarikannya. Kalau proses ini berlarutan, sememangnya Pusat Bandar secara khususnya atau Georgetown secara umumnya akan menjadi semakin mundur, mengakibatkan apa yang dikenali sebagai urban decline and decay.

Itu mungkin merupakan juga suatu sebab munculnya banyak kutu rayau atau pengemis di sekitar pusat bandar Georgetown. Namun, Kerajaan Negeri tidak berputus asa untuk mengambil pelbagai pendekatan dalam memulihkan Georgetown secara umumnya atau KOMTAR secara khususnya. Pemulihan KOMTAR merupakan langkah pertama bagi kita menghala ke arah untuk memulihkan Georgetown secara keseluruhannya.

Sekarang ini, kita boleh menyaksikan betapa menariknya KOMTAR Walk dan juga ICT Mall yang bakal dibuka di KOMTAR, tambahan lagi dengan 1st Avenue yang akan beroperasi pada September ini, sedikit sebanyak akan menarik minat golongan muda dan juga bekas warga kota kembali ke Georgetown. Ini merupakan sebahagian pendekatan jangka pendek sahaja. Secara jangka panjang, kita perlu berusaha dengan lebih gigih untuk menarik minat golongan tersebut untuk berhijrah balik ke Georgetown, sama ada menyewa premis atau melabur hartanah di sekitar Georgetown.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home