Thursday, 24 July 2008

Sidang DUN P. Pinang tegang

Utusan Malaysia

PULAU PINANG 23 Julai - Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim hari ini membidas Ng Wei Aik (DAP-Komtar) yang mempertikai arahan Kementerian Pelajaran melarang Exco daripada mengadakan majlis rasmi di sekolah-sekolah di negeri ini.

Azhar berkata, ADUN pakatan pembangkang sepatutnya tidak mempersoalkan keputusan itu kerana ia melibatkan keputusan Kerajaan Persekutuan dan berada di luar bidang kuasa kerajaan negeri.

Justeru katanya, isu itu tidak relevan untuk dibincangkan di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

''Sidang DUN sepatutnya membincangkan isu berkaitan dengan kerajaan negeri dan bukannya perkara-perkara tidak relevan.

''Jadi saya berharap isu berkenaan tidak dipolitikkan," katanya ketika mencelah ucapan perbahasan Wei Aik ketika membahaskan usul terima kasih terhadap ucapan Yang Dipertua negeri, Tun Abdul Rahman Abbas pada Mesyuarat Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri kali Ke-12 di sini hari ini.

Keadaan itu menyebabkan RSN Rayer (DAP-Seri Delima), tiba-tiba bangkit lalu mencelah dan mempersoalkan jawapan Ketua Pembangkang berhubung isu tersebut.

Tindakan tersebut menyebabkan Azhar menegurnya dan menyatakan bahawa ADUN Seri Delima itu suka 'serbu' terutama ketika Ketua Pembangkang atau ADUN pembangkang lain berhujah.

Ini menyebabkan berlaku perang mulut antara mereka berdua sebelum Rayer menggelar Azhar sebagai 'sudah tua' sehingga menyebabkan Datuk Jasmin Mohamad (BN-Sungai Dua) bangun dan meminta Rayer menarik balik perkataan itu kerana ia dianggap menyentuh hal peribadi.

''Mengikut Peraturan 46(13), setiap ADUN perlu menggunakan perkataan yang tidak menyentuh peribadi ADUN lain, jadi saya minta ADUN Seri Delima menarik balik perkataan tua kepada Ketua Pembangkang.

''Tua-tua dia (Azhar) pun, handsome dan boleh tambah (kahwin) seorang lagi tu," katanya sambil berseloroh.

Rayer bagaimanapun membalas, beliau hanya akan menarik balik perkataan 'tua' terhadap Azhar sekiranya Ketua Pembangkang itu menarik balik perkataan 'serbu' yang ditujukan kepadanya sebelum itu.

Azhar kemudian menjelaskan yang perkataan serbu tidak dianggap menyentuh peribadi seseorang sebaliknya ia bermaksud perbuatan yang mengganggu orang lain ketika bercakap.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home