Wednesday, 23 July 2008

Ucapan DUN (1)

UCAPAN AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI BAGI KAWASAN KOMTAR Y.B. NG WEI AIK KE ATAS USUL TERIMA KASIH TERHADAP UCAPAN TUAN YANG TERUTAMA YANG DI-PERTUA NEGERI PULAU PINANG

~ 23 Julai 2008 ~

Mukadimah

1. Ini merupakan kali pertama saya memberi ucapan dalam Dewan yang mulia ini setelah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Komtar dalam pilihan raya umum yang diadakan pada 8hb Mac 2008.

2. Kemenangan Parti Tindakan Demokratik dan Parti Keadilan Rakyat dalam pilihan raya kali ini amat memberansangkan sehingga kita dapat menguasai majoriti dua pertiga kerusi dalam Dewan yang mulia ini dan seterusnya membentuk sebuah kerajaan campuran yang berjiwakan rakyat.

3. Atas sebab kekecewaan dan rungutan rakyat jelata terhadap MCA, Gerakan dan MIC yang asyik bodek-membodek pemimpin-pemimpin UMNO, kesemua calon daripada ketiga-tiga parti komponen Barisan Nasional tersebut telah dikalahkan. Bagi saya, ini sememangnya telah ditakdirkan.

4. Rakyat jelata memang menaruh harapan yang tinggi terhadap kami untuk berhadapan dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang hanya gilakan kuasa dan kekayaan tanpa mengambil kira kepentingan rakyat jelata dalam Dewan yang mulia ini.

5. Adakah pemimpin-pemimpin Barisan Nasional secara amnya atau UMNO secara khususnya berjiwakan rakyat? Jawapannya adalah jelas sekali. Tanpa perlu saya berhujah secara panjang lebar di sini, pilihan rakyat jelata pada pilihan raya kali ini memang merupakan satu petunjuk yang tidak payah dipertikaikan lagi.


Prinsip-Prinsip C.A.T.

6. Kemenangan kita telah menggambarkan kehendak-kehendak rakyat Negeri Pulau Pinang yang inginkan sebuah pentadbiran yang bersih, cekap dan amanah. Padahal, bersih, cekap dan amanah merupakan slogan Barisan Nasional sejak dahulu lagi yang sekadar cakap tak serupa bikin. Rasuah dan penyelewengan kuasa yang berleluasa sehingga ke akar umbi seakan-akan merupakan virus penyakit yang sukar dibunuh.

7. Namun begitu, kita sebagai Kerajaan Negeri yang baru tetap akan mengambil segala usaha dan pendekatan yang perlu untuk mengubati penyakit tersebut. Dengan ini, pengamalan prinsip-prinsip C.A.T. iaitu Keupayaan (Competency), Akauntabiliti (Accountability) dan Ketelusan (Transparency) oleh Kerajaan Negeri adalah tepat pada masanya.

8. Kita perlukan kerjasama seluruh jentera Kerajaan Negeri untuk melaksanakan sebuah pentadbiran yang berlandaskan prinsip-prinsip C.A.T. Mengikut maklum balas pihak awam, sikap kakitangan-kakitangan awam telah bertambah baik selepas kita mengambil alih pucuk kepimpinan Kerajaan Negeri, di mana kecekapan, kesopanan dan prestasi mereka juga meningkat.

9. Walau bagaimanapun, masih terdapat segelintir kecil kakitangan awam yang gagal memenuhi kehendak-kehendak C.A.T. Bagi mengatasi masalah ini, ketua jabatan atau agensi Kerajaan Negeri perlu memainkan peranan mereka dalam memberikan teguran atau amaran kepada kakitangan-kakitangan awam yang terlibat.

10. Keseluruhan jentera Kerajaan Negeri perlu mendukung prinsip-prinsip C.A.T. supaya kita dapat menggerakkan Negeri Pulau Pinang terus maju ke depan. Kita tidak perlukan Little Napoleon atau Big Warlord yang cuba menggagalkan segala usaha yang kita ingin ambil untuk kepentingan rakyat Pulau Pinang.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home