Wednesday 23 July 2008

Ucapan DUN (5)

Kerajaan Tempatan

68. Penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan, termasuk oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai mestilah tegas tetapi pendekatan secara lembut boleh diambil. Bagi golongan yang berpendapatan rendah, seperti penjaja atau peniaga kecil, mereka sering menerima saman atau kompaun yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan sehingga membebankan kehidupan mereka.

69. Ini tidak bermakna bahawa golongan yang berpendapatan rendah tersebut tidak patut dikeluarkan saman atau kompaun atas kesalahan yang mereka lakukan. Jikalau ini merupakan kesalahan kecil, janganlah kita cuba membunuh seekor ayam dengan pisau lembu. Apa yang lebih penting dalam proses penguatkuasaan adalah tujuan pendidikan. Jikalau golongan sasaran tersebut masih bersikap degil walaupun pendidikan atau amaran telah diberikan, maka tindakan penguatkuasaan yang serta-merta adalah diperlukan.

70. Saya berasa hairan mengapa projek pembinaan Times Square di Jalan Dato Keramat yang mengakibatkan keretakan bangunan-bangunan kediaman dan perniagaan yang serius di sekitar Jalan Kuantan, Jalan Trang dan Jalan Kampung Jawa hanya diberhentikan dengan notis yang dikeluarkan oleh MPPP selepas enam minggu isu ini dibangkitkan. Alasan bagi arahan tersebut dikeluarkan adalah berkenaan dengan masalah keretakan bangunan yang diakibatkan oleh kerja-kerja tanah bagi projek tersebut.

71. Saya berharap pihak pemaju bagi projek Times Square dapat mengambil tindakan cepat untuk memperbaiki keretakan semua bangunan yang terlibat sebelum arahan pemberhentian kerja dapat ditarik balik oleh pihak MPPP. Saya berharap pemaju-pemaju yang lain dapat mengambil iktibar daripada tindakan tegas yang diambil oleh MPPP ke atas Times Square supaya mematuhi segala peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan sebelum kelulusan dapat diberikan ke atas pemajuan projek yang dicadangkan.


Kecekapan Jabatan Bomba dan Penyelamat

72. Kebakaran yang berlaku di Jalan Penang, iaitu di seberang jalan yang berhadapan dengan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang pada 17 Jun 2008 kira-kira jam 13.25 telah memusnahkan tiga buah rumah kedai, termasuk dua buah kedai alat permainan dan sebuah kedai kasut.

73. Kebakaran api mulai muncul pada jam 13:24:53. Kereta bomba yang pertama hanya tiba di tempat kejadian pada jam 13:33:20 dan air mulai dipancut pada jam 13:36:30. Kereta bomba yang kedua dan ketiga hanya tiba pada jam 13:42:30.

74. Disebabkan tekanan air yang rendah, kerja-kerja menyelamatkan api agak sukar untuk dijalankan. Namun, prestasi ahli-ahli bomba dalam kejadian ini amatlah tidak memuaskan sehingga api telah merebak dari kedai alat permainan ke kedai kasut yang bersebelahan pada jam kira-kira 13:57:01.

75. Selepas tibanya kereta bomba di tempat kejadian, saya dan kawan-kawan saya cuba menelefon pihak bomba untuk mendapatkan bantuan tambahan. Akan tetapi, terdapat pegawai bomba yang tidak menunjukkan sikap yang sopan sehingga bertanyakan kami, “Setakat berapa buah kereta bomba baru awak rasa cukup?”

76. Terdapat juga ahli-ahli bomba yang kurang berpengalaman dalam menyelamatkan api. Pihak awam juga mengadu bahawa ahli-ahli bomba terpaksa menghabiskan lebih daripada 10 minit untuk menurunkan tangga besi daripada kereta bomba. Semasa menyelamatkan api, terdapat ahli-ahli bomba yang jatuh, tidak dapat menghubungkan paip-paip air dalam masa yang singkat dan terdapat juga paip air yang bocor.

77. Difahamkan ketidakberkesanan pihak bomba dalam kejadian tersebut adalah berkenaan dengan kebanyakan pegawai dan ahli bomba yang lebih berpengalaman telah dihantar untuk menyertai latihan bagi pertandingan pancaragam di Perda, Bukit Mertajam pada hari tersebut.

78. Jikalau lebih banyak kereta bomba dan ahli bomba yang lebih berpengalaman dihantar ke tempat kejadian dalam masa yang tersingkat selepas berlakunya kebakaran api, maka api sepastinya tidak akan merebak ke kedai kasut tersebut.

79. Saya juga tidak berpuas hati dengan pihak bomba berkata bahawa pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.35 petang dan kereta bomba pertama telah bergerak ke tempat kejadian seminit kemudian.

80. Mengikut makluman pihak bomba, mereka telah berjaya mengawal kebakaran daripada merebak kira-kira tiga minit kemudian. Tetapi daripada rakaman CCTV yang dipasang dan dikawalselia oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang, dapatlah saya membuktikan bahawa maklumat-maklumat yang diberikan oleh pihak bomba adalah tidak tepat dan prestasi ahli-ahli bomba memang tidak memuaskan.

81. Dalam surat kepada Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Pulau Pinang, saya memohon supaya siasatan dijalankan terhadap perkara tersebut serta memberi penjelasan terhadap dakwaan bahawa kebanyakan pegawai dan ahli bomba terlibat dengan latihan untuk pertandingan pancaragam pada masa berlakunya kebakaran api tersebut.

82. Untuk mengelakkan keadaan ini terus berulang, saya memohon pihak tuan supaya memberi latihan yang secukup-cukupnya untuk kesemua ahli bomba untuk mempertingkatkan lagi kebolehan dan prestasi mereka dalam kerja-kerja menyelamatkan api.

83. Peruntukan tambahan juga amat diperlukan untuk membeli peralatan yang baru bagi pasukan bomba supaya kes-kes kebocoran paip tidak akan berlaku lagi. Takkanlah Kerajaan Persekutuan yang menghabiskan hampir RM100 juta untuk menghantar seorang angkasawan ke angkasa lepas tidak dapat memberikan peruntukan yang secukupnya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menggantikan alat-alat perkakasnya yang usang.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home