Wednesday, 23 July 2008

Ucapan DUN (2)

Kerajaan Berjiwakan Rakyat

11. Saya tidak bersetuju dengan apa yang disebut oleh Y.B. kawasan Penaga yang menyifatkan Y.A.B. Ketua Menteri sebagai Ketua Menteri untuk Timur Laut, Pulau Pinang sahaja, seolah-olah Y.B. kawasan Penaga juga Ketua Pembangkang untuk Seberang Perai secara amnya atau Penaga secara khususnya. Ini adalah tidak adil sekali.

12. Adakah Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Y.A.B. Ketua Menteri tidak mengagihkan beras untuk rakyat kita di Seberang Perai atau secara khususnya di Penaga? Adakah PBAPP di bawah kepimpinan Y.A.B. Ketua Menteri tidak bersedia untuk memberikan rebet RM100 melalui bil air kepada golongan yang miskin di Seberang Perai atau lebih khusus lagi di Penaga?

13. Dapatkah Y.B. Ketua Pembangkang membuktikan bahawa mana-mana keputusan yang dibuat atau dasar yang digubal oleh Y.A.B. Ketua Menteri atau Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang hanya mengambil berat segelintir orang sahaja? Pada hakikatnya, segala keputusan atau dasar yang digubal oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang memang mengambil berat faedah dan kepentingan awam tanpa mengambil kira kaum, agama, jantina dan fahaman politik.

14. Dengan itu, saya percaya bahawa Y.B. Ketua Pembangkang berniat untuk cuba memesongkan Dewan yang mulia ini dengan dakwaan-dakwaan yang tidak berasas demi mencapai matlamat politiknya. Saya ingin menegur Y.B. Ahli-Ahli Pembangkang termasuk Y.B. Ketua Pembangkang supaya lebih bertanggungjawab ketika berhujah dalam Dewan yang mulia ini.

15. Kita perlu mengekalkan dekorum Dewan yang mulia ini supaya masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat jelata kita. Saya amat hairan dengan kenyataan Y.B. Ketua Pembangkang yang inginkan projek Jambatan Pulau Pinang yang kedua dibatalkan telah menjejaskan usaha-usaha pelaburan yang ingin diambil oleh Kerajaan Negeri.

16. Ini merupakan sikap seorang ahli pembangkang yang kurang bertanggungjawab. Walaupun kita mewakili kepentingan politik yang berbeza, tetapi janganlah kita membuat sesuatu atau mengeluarkan kenyataan yang menjejaskan kepentingan seluruh rakyat Pulau Pinang.


Hubungan Kerajaan Persekutuan dan Negeri

17. Sistem Persekutuan yang diamalkan sekarang ini mempunyai latar belakangnya yang tersendiri dan unik. Kita mengamalkan sistem persekutuan supaya kuasa pada Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Pemerintah Melayu tidak terhakis. Kuasa-kuasa bagi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang telah digubal sejak negara kita merdeka lagi.

18. Selama ini, kecuali suatu tempoh yang pendek selepas pilihan raya umum pada tahun 1969, negeri kita adalah ditadbir oleh Barisan Nasional atau sebelum ini dikenali sebagai Perikatan. Setelah parti-parti pembangkang diberikan peluang untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negeri, maka kita telah memasuki satu era yang baru di mana kita perlu menghadapi Kerajaan Persekutuan yang dibentuk oleh parti-parti komponen yang berbeza.

19. Pengamalan sistem Persekutuan adalah untuk menjamin kepentingan dan suara negeri-negeri terdengar. Walaupun kuasa yang termaktub pada Kerajaan Negeri adalah terhad, ini tidak bermaksud bahawa Kerajaan Persekutuan dapat terus mengetepikan Kerajaan Negeri. Jikalau tiadanya kerjasama di antara kedua-dua pihak, maka banyak perancangan atau pembangunan yang memanfaatkan rakyat tidak dapat dijalankan.

20. Saya ingin menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak bersikap anti-Kerajaan Persekutuan. Pada masa yang sama, saya juga berharap Kerajaan Persekutuan tidak lagi bersikap anti-Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Kita ingin menjalinkan suatu hubungan perkongsian pintar (smart partnership) di antara kedua-dua pihak.

21. Melalui bentuk hubungan dan kerjasama yang baru ini, kita berharap kedua-dua pihak ini dapat berkongsi idea, pandangan, kepakaran, keinginan politik dan sumber-sumber kewangan yang sedia ada untuk menggerakkan Negeri Pulau Pinang terus ke hadapan.

22. Jikalau Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dapat memainkan peranan mereka masing-masing dengan cara yang lebih berkesan tanpa membalas dendam di antara satu sama lain, saya yakin bahawa rakyat jelata akhirnya akan dapat dimanfaatkan. Ingin saya melafazkan dua rangkap pantun untuk dinikmati semua:

Pulau Mutiara kembali bersinaran
Udara segar bertiup ke kiri kanan
Tanpa negeri mananya persekutuan
Tanpanya tanah mana ada pembangunan

Suasana politik sudah berbeza
Burung kakak bergigi dua
Tanggungjawab perlu dipikul bersama
Rakyat jelata akhirnya bertuah jua

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home