Sunday, 23 December 2007

Dengarlah Rintihan Hati Kaum India

Penderitaan hidup yang dihadapi oleh kaum India dalam negara kita bukanlah sesuatu yang baru. Seringkali kita terdengar kisah hidup mereka yang menyayat hati melalui rencana suratkhabar atau televisyen. Jikalau dibuat perbandingan antara tiga golongan kaum yang utama, maka kaum India sepastinya jauh ketinggalan dalam aspek pendapatan dan kehidupan mereka.

Walaupun faktor sejarah merupakan salah satu punca yang utama, di mana kaum India pada asalnya telah dibawa oleh penjajah British ke Tanah Melayu dan bekerja sebagai buruh kasar di ladang-ladang getah kepunyaan British, namun selepas 50 tahun kemerdekan dan generasi demi generasi kita hidup di tanahair ini, takkanlah taraf kehidupan mereka masih kekal sebegini.

Pada pilihan raya yang lepas, sekumpulan orang yang menggelar diri sebagai “Kumpulan warganegara yang berprihatin” pernah menyebut sembilan masalah asas yang dihadapi oleh kaum India di Malaysia melalui siaran akhbar yang bertajuk “Election 2004: New Politics for Indian Malaysians”.

Di antaranya, masalah-masalah yang dihadapi oleh kaum India termasuklah:

• Bilangan pemuda India yang mati dalam tahanan polis semakin meningkat;
• Masalah sosio-ekonomi di mana jurang kemiskinan antara masyarakat India dengan masyarakat kaum lain semakin luas;
• Kerajaan tidak mengambil pendekatan yang proaktif dalam menangani isu-isu sosial yang dihadapi oleh masyarakat India;
• Kekurangan pelajar India yang diambil masuk ke dalam universiti memang menyakiti hati masyarakat India;
• Isu-isu yang berkaitan dengan Maika sehingga kini tidak dapat diselesaikan;
• Pembunuhan yang didakwa berasaskan motif perkauman seperti yang berlaku di Kampung Medan masih belum dapat diperjelaskan; dan
• Hak kaum India untuk mendapatkan rumah kos rendah tidak dapat dipertahankan.

Disebabkan kemiskinan, kebanyakan anak-anak mereka terpaksa mengabaikan peluang pendidikan dan bekerja kuat untuk menampung beban hidup sekeluarga. Adalah sesuatu fenomena yang biasa bagi kanak-kanak India bekerja di ladang-ladang sejak kecil lagi demi membantu ibu bapa mereka dalam mencari rezeki hidup. Mereka sepatutnya dihantar ke sekolah untuk mendapatkan peluang pendidikan.

Jadi tidaklah hairan perhimpunan anjuran Hindraf (Hindu Rights Action Force) berjaya menarik penyertaan kaum India secara besar-besaran. Walaupun menerima ugutan daripada pelbagai pihak, termasuk pemimpin-pemimpin Umno, pasukan keselamatan dan juga pimpinan MIC sendiri, namun mereka tetap dengan perancangan yang asal.

Daripada reaksi mereka dapatlah kita merasai betapanya masyarakat India kecewa terhadap pemimpin-pemimpin BN dan MIC sendiri. Atas kekecewaan ini, mereka rela berpatah arang dan menerima apa jua padah yang dijatuhkan ke atas mereka. Jikalau rintihan hidup tidak dapat didengar, perhimpunan memang merupakan salah satu cara untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka. Semangat mereka tidak pernah dipatahkan.

Sikap kerajaan BN, sebagaimana yang pemimpin-pemimpin BN tunjukkan terhadap mereka yang menyertai perhimpuan BERSIH bagi menuntut proses pilihan raya yang bersih dan adil adalah dijangkakan. Mereka langsung tidak mengizinkan rakyat berhimpun secara aman demi menyuarakan pendirian mereka.

Melalui pelbagai cara, perhimpunan Hindraf pula menerima tohmahan pemimpin-pemimpin BN dan ugutan daripada pasukan polis, termasuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan mereka yang menyertai perhimpunan. Malah, mereka yang ditangkap dan ditahan telah menerima layanan polis secara kasar. Mana perginya pemimpin-pemimpin MIC kebelakangan ini?

Adakah anda bersetuju dengan tuntutan-tuntutan yang dibawa oleh Hindraf? Walaupun terdapat beberapa perkara yang tidak dapat kita semua terima, namun hak rakyat untuk berhimpun secara aman dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi untuk menyuarakan rintihan hidup dan tuntutan-tuntutan mereka perlulah kita hormati.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home