Saturday 6 June 2009

Memoradum kepada Universiti Sains Malaysia (USM)

5 JUN 2009

Profesor Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak,
Naib Canselor,
Universiti Sains Malaysia,

Canselori,
11800 USM,
Pulau Pinang.

Prof. Tan Sri,

Ketidakpuasan Terhadap Sikap dan Pendekatan Universiti Sains Malaysia dalam Menangani Kekeliruan Akibat daripada Kesilapan Memaparkan Senarai Pemohon yang Tidak Berjaya dalam Laman Web Rasmi USM


Dengan hormatnya, kami ingin menyampaikan memorandum ini kepada Prof. Tan Sri sebagai Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) supaya Prof. Tan Sri dapat mengambil ikhtibar daripada insiden akibat kesilapan memaparkan senarai pemohon yang tidak berjaya dalam laman web rasmi USM yang berlaku kebelakangan ini serta campur tangan untuk menangani perkara ini dengan serta-merta.

2. Saya bagi pihak pemohon dan ibu-bapa bagi pemohon yang seketika dimaklumkan oleh pihak universiti bahawa mereka telah berjaya dan selepas itu dimaklumkan pula mereka tidak berjaya dalam permohonan ke USM ingin menyatakan kekecewaan kami terhadap USM, khasnya terhadap ketidakupayaan Prof. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa) yang juga merupakan Pemangku Naib Canselor pada masa itu dalam menangani kekeliruan tersebut.

3. Kekeliruan yang berpunca daripada kesilapan teknikal tidak haruslah berlaku dalam era berteknologi moden. Pemeriksaan rapi perlu dilakukan sebelum senarai tersebut dapat dipaparkan dalam laman web rasmi USM. Adakah masalah ini berlaku atas sebab kesilapan teknikal atau terdapat udang di sebalik batunya? Persepsi negatif sebegini perlu ditangkis oleh pihak universiti dengan mengumumkan piawaian pengambilan dan pemarkahan yang digunakan oleh USM untuk menilai sesuatu permohonan yang dikemukakan.

4. Penjelasan yang diberikan oleh pihak universiti selepas berlakunya insiden ini langsung tidak memuaskan. Pihak universiti mendakwa bahawa kesilapan teknikal hanya berlaku pada laman web rasmi USM, padahal terdapat pemohon-pemohon yang dimaklumkan melalui SMS bahawa mereka ditawarkan program atau kursus tertentu di USM dan kemudian mendapati dirinya tidak terkandung dalam senarai pemohon yang berjaya. Terdapat juga pemohon-pemohon yang berjaya mengesahkan penerimaan mereka ke program atau kursus tertentu walaupun mereka kemudiannya mendapati nama mereka tiada dalam senarai yang berjaya.

5. Kekeliruan sebegini telah menyebabkan sesetengah pemohon kehilangan atau melepaskan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti luar negara, seperti National University of Singapore (NUS) atas sebab mereka percaya dirinya telah ditawarkan tempat di USM. Terdapat juga pemohon yang sehingga kini tidak dimaklumkan melalui SMS walaupun berjaya mendapat tawaran USM melalui laman web rasmi USM. Ramai pelajar cuba mendapat kepastian daripada pihak universiti dengan menelefon atau emel ke USM tetapi panggilan atau pertanyaan mereka seringnya tidak dijawab.

6. Selepas berlakunya insiden ini, pihak universiti kelihatan enggan menanggung tanggungjawab dan mengambil pendekatan atau kaedah penyelesaian yang pro-aktif dalam menangani insiden ini. Pihak universiti cuba menolak segala-galanya ke Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pengajian Tinggi pula enggan menanggung risiko dengan menolak tanggungjawab tersebut balik ke USM. Ini jelas menunjukkan tiada kebertanggungjawaban langsung pada pihak-pihak berkenaan.

7. Insiden yang berlaku di USM kebelakangan ini langsung tidak dapat diterima dan telah dijadikan bahan ketawa sepelosok dunia. Namun demikian, kita tetap sayang dengan USM yang merupakan satu-satunya Universiti APEX di Malaysia dan ingin jadikan universiti sebagai lambang kebanggaan bagi kita semua. Apa yang dituntut oleh pelajar-pelajar atau ibu bapa mereka yang terlibat adalah cara penyelesaian yang konkrit untuk menangani kemelut ini dan bukan sekadarnya penjelasan oleh pihak universiti atau siasatan yang sedang dilakukan oleh pihak Kementerian.

8. Dengan ini, kami menuntut supaya:

• Sebuah pasukan petugas khas dengan pejabat khas dan talian khas ditubuhkan di peringkat universiti untuk menangani segala pertanyaan daripada pihak pemohon atau ibu bapa mereka berkenaan dengan status permohonan mereka;
• Pihak universiti perlu memaparkan keseluruhan senarai pelajar yang berjaya dalam permohonan ke USM dengan piawaian pengambilan bagi setiap program atau kursus, serta senarai pelajar yang tidak berjaya, termasuk pelajar yang tidak berjaya tetapi disenaraipendekkan oleh pihak universiti;
• Keseluruhan senarai pelajar yang berjaya dalam permohonan ke USM perlu dipaparkan dalam laman web rasmi USM dan diiklankan dalam suratkhabar-suratkhabar utama untuk akses dan pengetahuan awam;
• Koordinasi penuh USM dengan pihak Kementerian adalah diperlukan untuk memastikan tiada nama pelajar yang tercicir apabila senarai tersebut dirujuk kepada Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Kementerian Pengajian Tinggi untuk proses yang seterusnya;
• Pihak universiti bertanggungjawab untuk memastikan pelajar-pelajar yang terlibat ditempatkan ke IPTA-IPTA yang lain berdasarkan keutamaan program atau kursus pilihan mereka;
• Keutamaan yang diberikan kepada USM untuk mengambil pelajarnya sehingga menjejaskan peluang IPTA-IPTA yang lain untuk mengambil pelajar-pelajar yang cemerlang haruslah dimansuhkan;
• Sistem pengurusan kemasukan pelajar yang mengkehendaki pemohon berdaftar diri untuk USM dan IPTA-IPTA yang lain secara berasingan perlulah dikaji semula;
• Ujian MUNSI dan cara temuduga yang tidak bercirikan meritokrasi dan berunsur subjektif untuk menentukan kelayakan pelajar ditempatkan ke sesuatu program atau kursus perlu dikaji semula;
• Profesor Ahmad Shukri Mustapa Kamal perlu bertanggungjawab penuh ke atas insiden ini dan meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Naib Canselor dengan serta-merta atau dilucutkan jawatannya sebagai Timbalan Naib Canselor jikalau beliau enggan berbuat demikian;
• Kementerian Pengajian Tinggi perlu mengkaji semula keseluruhan sistem pengurusan kemasukan pelajar selaras dengan kehendak-kehendak sistem meritokrasi;
• Pihak universiti perlu menambahkan peluang kemasukan ke USM bagi program atau kursus tertentu yang tidak menghadapi masalah kekurangan sumber atau kelengkapan untuk menampung pelajar-pelajar yang tidak dapat ditempatkan ke IPTA-IPTA lain mengikut keutamaan program atau kursus pilihan mereka; dan
• Tempoh rayuan bagi kemasukan ke USM perlu dilanjutkan untuk membolehkan pelajar-pelajar yang terlibat mengemukakan rayuan mereka.

Sekian, terima kasih.

“Competency, Accountability & Transparency”

Saya yang Menjalankan Tugas,

Y.B. NG WEI AIK
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang /
Ahli Dewan Undangan Negeri bagi KOMTAR

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home