Saturday 10 May 2008

Perasmian Pusat Khidmat ADUN Komtar

Ucapan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Komtar Ng Wei Aik semasa upacara perasmian Pusat Perkhidmatan ADUN Komtar pada 10hb Mei 2008 (Sabtu) jam 11.00 pagi:

Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang Sdr Lim Guan Eng, Pengerusi Jawatankuasa DAP Negeri Pulau Pinang merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Ahli Parlimen bagi kawasan Tanjong Sdr Chow Kon Yeow, Ahli-Ahli Parlimen, Ahli-Ahli EXCO, ADUN-ADUN, Ahli-Ahli Majlis MPPP dan MPSP, ahli-ahli dan penyokong-penyokong DAP:

Salam sejahtera dan selamat pagi diucapkan kepada semua hadirin dan hadirat.

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ribuan terima kasih atas kehadiran Y.A.B. Sdr Lim Guan Eng ke upacara perasmian Pusat Perkhidmatan ADUN KOMTAR dan Pusat Komuniti Tanjong.

Tanpa sokongan orang awam dari segi bantuan kewangan dan tenaga, pusat perkhidmatan ini tidak mungkin dapat ditubuhkan dalam masa yang singkat sahaja. Lebih penting lagi, sokongan rakyat yang padu pada pilihan raya kali ini telah merealisasikan impian DAP untuk merampas kembali kawasan DUN Komtar atau dahulunya dikenali sebagai kawasan DUN Kampong Kolam yang telah kita kalah dalam tiga kali pilihan raya yang lepas.

Kemenangan kali ini bukanlah milikan saya sendiri tetapi harus dikongsi bersama oleh semua lapisan rakyat di kawasan ini, termasuk dikongsi bersama oleh bekas calon-calon DAP bagi kawasan ini, termasuklah Sdr Gooi Seong Kin, Sdr Chow Kon Yeow dan Sdr Teh Lai Heng.

Saya telah menggaji tiga orang pembantu, iaitu Sdr Ch’ng Chin Keat, Sdr Henson Quek Chung Thye dan Sdr Adreena Ng Kim Hooi untuk membantu saya dalam menangani segala aduan dan masalah yang dihadapi oleh penduduk-penduduk di kawasan ini.

Selain daripada berfungsi sebagai pusat perkhidmatan, tempat ini juga digunakan sebagai Pusat Komuniti Tanjong bagi menganjurkan segala aktiviti yang memanfaatkan rakyat jelata. Bagi warga-warga emas, kami bercadang untuk menganjurkan kelas-kelas computer supaya mereka belajar bagaimana menggunakan computer dan emel untuk berkomunikasi dengan anak-anak mereka yang melanjutkan pendidikan atau bekerja di negara atau negeri asing.

Bagi pertubuhan-pertubuhan awam dan NGO-NGO yang tidak bermotifkan keuntungan, mereka juga boleh menggunakan tempat ini untuk tujuan mesyuarat atau menganjurkan aktiviti mereka.

Saya juga ingin mengumumkan penubuhan sebuah cawangan DAP yang baru, iaitu cawangan DAP Komtar Baru dan kami telah berjaya dalam menarik 150 orang ahli baru untuk menyertai cawangan kita. Ini merupakan cawangan DAP yang kedua bagi kawasan DUN KOMTAR. Kami juga berikhtiar untuk menubuhkan beberapa cawangan yang baru lagi demi mengukuhkan serta memperluaskan pengaruh kita di kawasan ini, termasuk menawarkan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat jelata tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang politik.

Ng Wei Aik

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home