Friday 24 July 2009

Koh Tsu Koon Patut Tampil Untuk Menjelaskan Kebenaran Kepada Semua - 10 Soalan Untuk Koh Tsu Koon

Kenyataan Sidang Media oleh Y.B. Ng Wei Aik, Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Negeri Pulau Pinang pada 24 Julai 2009 (Jumaat) Jam 11.00 pagi di Ibu Pejabat DAP Negeri Pulau Pinag:

Dengan lebih 97% dalam satu soal-selidik atas talian (http://www.anilnetto.com) menggesa Koh menjelaskan segala kebenaran tentang isu Kg Buah Pala ini dan 88% tidak bersetuju dengan Kerajaan Negeri mengambil tanah bagi penduduk-penduduk Kampung Buah Pala (http://dappg.org), maka beliau patut tampil untuk memberitahu kebenaran kepada semua:

1. Kerajaan Koh gagal sama sekali ataupun sengaja mengenepikan kebenaran tentang sejarah milikan tanah Kg Buah Pala termasuk sejarah amanah Brown dan Housing Trust apabila mereka meluluskan penjualan tanah kepada Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang.

2. Koh mestilah memberi penjelasan mengapa Koperasi tersebut diberikan diskaun terhadap harga asal yang dikemukan walaupun harga asal tersebut sudah amat rendah bagi tanah prima - harga asal ialah RM6.4 juta dan diskaun 50% diberikan menurunkan harga kepada RM3.2 juta.

3. Koh menyatakan bahawa harga rendah ke atas tanah prima adalah kerana pertukaran tanah, iaitu tanah Kg Buah Pala ditukarkan dengan sebidang tanah di sebelah Dewan Sri Pinang milikan Koperasi (kini terdiri bangunan Mahkamah). Beliau telah gagal menjelaskan nilai sebenar kedua-dua bidang tanah dan justifikasi pertukaran.

4. Koh juga gagal untuk menjelaskan mengapa beliau telah memberikan tempoh yang amat panjang bagi Koperasi untuk menjelaskan premium tanah tersebut. Di bawah Kanun Tanah Negara, premium tanah selalunya dibayar dalam tempoh 3 bulan, tetapi menurut maklumat daripada dokumen yang deklasifikasikan oleh Kerajaan Negeri sekarang, walaupun kelulusan penjualan diberi pada 2005, pihak Koperasi hanya membayar keseluruhan premium pada Mac 2008.

5. Koh juga mesti menjelaskan mengapa Koperasi diberikan layanan istimewa untuk menghantar pelan pembangunan serta mendapat kelulusan bagi pelan tersebut walaupun premium belum dibayar penuh. Projek perumahan baru tersebut juga telah dilancarkan kepada pembeli pada Januari 2008 walaupun pada masa itu, Koperasi masih berhutang 70% harga premium (lebih kurang RM2.24 juta).

6. Koh patut menjelaskan peranan beliau dan Ahli MMK Gerakan-BN ketika itu dalam transaksi tanah Kg Buah Pala dan sama ada setiap mereka mempunyai kepentingan peribadi dalam transaksi tersebut.

7. Koh juga patut menjelaskan sama ada terdapat pemimpin UMNO-BN yang mempunyai kepentingan di sebalik syarikat-syarikat yang terlibat dalam transaksi tanah Kg Buah Pala termasuk pemaju.

8. Koh mesti menjelaskan mengapa permohonan awal dua buah syarikat Pembinaan Baufort Sdn. Bhd. dan Edaran Pelita Sdn. Bhd.untuk pemberimilikan tanah tersebut telah ditolak manakala permohonan pihak Koperasi telah diluluskan?

9. Koh juga patut menjelaskan adakah beliau bersetuju pengekalan Kg Buah Pala dengan pengambilan tanah daripada pemaju?

10. Sebagai Menteri "KPI" di Jabatan Perdana Menteri, adakah Koh telah mengetengahkan isu ini di peringkat Kerajaan Persekutuan dan berusaha mendapatkan bantuan Kerajaan Persekutuan untuk membantu penduduk Kg Buah Pala?

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home