Tuesday, 30 December 2008

Selamat Datang ke Majlis Sambutan Hari Krismas & Tahun Baru 2009 Anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Kenyataan Sidang Media oleh Ng Wei Aik, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang pada 30 Disember 2008 (Selasa) di Georgetown, Pulau Pinang:

Kerajaan Negeri Pulau Pinang buat pertama kalinya akan menganjurkan Majlis Sambutan Hari Krismas dan Tahun Baru 2009 pada 3 Januari 2009 jam 8.00 malam bertempat di Fort Cornwallis, Esplanade, Pulau Pinang.

Majlis tersebut adalah terbuka untuk penyertaan awam, termasuk juga semua lapiran rakyat yang beragama Kristian dan bukan Kristian. Ini merupakan usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menghormati kepercayaan setiap kaum di Malaysia.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri yang baru pernah menganjurkan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri, rumah terbuka Hari Deepavali, Majlis Sambutan Ma’al Hijrah dan termasuk juga rumah terbuka bagi Tahun Baru Cina yang akan datang sebagai tanda memupuk silatulrahim di kalangan semua rakyat.

Majlis sambutan Hari Krismas dan Tahun Baru 2009 akan dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas dan dihadiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Yang Amat Berhormat Tuan Lim Guan Eng serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negerinya.

Semua Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen serta Ketua-Ketua Jabatan juga akan dijemput hadir bersama-sama bagi meraikan majlis tersebut. Ketua Menteri akan menyampaikan ucapan pada majlis tersebut dan diikuti dengan pelbagai jenis acara persembahan yang menarik.

Acara-acara persembahan termasuklah nyanyian, tarian, “Christmas carolling”, pertunjukan silap mata dan sebagainya. “Santa Claus” juga akan bersama-sama dengan para peserta untuk keseluruhan program tersebut sehingga masa bersurai yang ditetapkan pada jam 11.00 malam. Hidangan makanan ringan dan minuman juga akan disediakan untuk santapan orang ramai.

Pihak Kerajaan Negeri menjemput semua lapisan rakyat kita tanpa mengira kaum, agama dan kepercayaan politik turut menyertai majlis sambutan tersebut. Kehadiran anda adalah dialu-alukan. Sekian, terima kasih.


NG WEI AIK

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home