Wednesday 2 November 2011

Ucapan Perbahasan Bajet Negeri (4)

Pembangunan Belia

Pembangunan belia merupakan suatu aspek yang amat penting. Malangnya, pembangunan belia kurang diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri, di mana hanya RM682,000 diperuntukkan dalam Bajet 2012. Untuk mengelakkan golongan belia daripada terjerumus dalam alam internet, maka program-program belia yang lebih berdaya tarikan perlulah digariskan serta dianjurkan dari semasa ke semasa.

Kita juga amat memerlukan tapak-tapak perkhemahan yang sesuai di bahagian Pulau dan Seberang Perai untuk penganjuran program perkhemahan oleh sekolah-sekolah, badan-badan beruniform dan persatuan-persatuan belia.

Dulunya, kita mempunyai Coronation Camp namun tapak perkhemahan tersebut telah ditutup beberapa tahun dahulu. Adakah Kerajaan Negeri bersedia untuk mengenalpasti suatu tapak alternatif di kawasan Daerah Timur Laut bagi mendirikan semula Coronation Camp jikalau tapak yang asal tidak sesuai lagi untuk tujuan tersebut? Adakah tapak-tapak perkhemahan sebegini juga dapat dikenalpasti di setiap daerah yang lain supaya golongan muda tidak mudah diserap dan dijadikan Mat Rempit?

Keganasan Mat Rempit

Kelmarin, kita telah menyaksikan segolongan besar Mat Rempit upahan merayau-rayau di sekitar pusat bandar George Town. Mereka kononnya ingin menuntut supaya Kerajaan Negeri menyediakan lintasan larian bagi mereka merempit. Tetapi, saya rasa ini bukan tujuan mereka yang sebenar tetapi ada udang UMNO di sebalik batu. Semua Mat Rempit upahan tersebut datang dengan memakai baju yang dicetak dengan perkataan “Selamatkan Pulau Pinang” dan “LGE Rasis”.

Kita amat kesal dengan sikap dan tindakan polis dalam menangani golongan Mat Rempit yang mengganas di luar Dewan yang mulia ini. Daripada dua tiga ratus Mat Rempit yang menyertai perarakan haram tersebut, hanya 5 orang sahaja ditangkap. Mengapakah Ketua Polis Daerah begitu takut akan golongan Mat Rempit, hanya kerana mereka kali ini didalangi oleh pemimpin-pemimpin UMNO? Mengapakah golongan Mat Rempit ini boleh ditemani oleh pihak polis sehingga ke Lebuh Light sebelum tindakan dapat diambil? Adakah Dewan yang mulia ini perlu digunakan sebagai “backdrop” untuk golongan Mat Rempit ini mengganas?

UMNO merupakan bapa Mat Rempit! Ketua Pemuda UMNO pula melabelkan Mat Rempit sebagai Mat Cemerlang! Jikalau kita nak menghapuskan Mat Rempit, maka pemimpin-pemimpin UMNO yang merupakan bapa-bapa kepada Mat Rempit perlulah ditumbangkan terlebih dahulu. Kita mencintai keamanan dan janganlah kesejahteraan hidup yang kita nikmati diperkosakan oleh Mat Rempit yang merupakan gangster-gangster jalanan!

Saya tidak faham logiknya adakah Pulau Pinang dapat diselamatkan dengan menyediakan lintasan larian kepada golongan Mat Rempit. Adakah LGE yang merujuk kepada Y.A.B. Ketua Menteri kita rasis jikalau tuntutan mereka tidak dapat dipenuhi? Adakah Mat Rempit atau UMNO yang merupakan Bapa Mat Rempit dapat menyelamatkan Pulau Pinang? Sebenarnya, UMNO telah membinasakan segala-galanya!

Lihatlah MPSP yang seketika dahulu dipimpin oleh Ahli Yang Berhormat Penaga hampir-hampir bankrap dan siapakah yang merupakan penyelamat MPSP? Bukan orang lain tetapi Pakatan Rakyat sebenarnya! Banyak wang rakyat digelapkan atau dibolosi tanpa kawalan! Tanah Kerajaan dirampas dan diswastakan! Semua ini merupakan angkara Barisan Nasional yang mengagung-agungkan KKN, iaitu Korupsi, Kronisme dan Nepotisme! Hanyalah Kerajaan Negeri yang CAT, iatu Kompetensi, Akauntabiliti dan Telus dapat menyelamatkan Negeri Pulau Pinang daripada terus terjunam ke laut!

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, Bajet Kerajaan Negeri Pulau Pinang 2012 telah memberi suntikan baru bagi memangkinkan lagi pembangunan Negeri Pulau Pinang.

Kami berharap Jabatan Pengairan dan Saliran dengan peruntukan pembangunan yang ditingkatkan 39.77% jikalau berbanding dengan tahun lepas dapat mengambil tindakan-tindakan pro-aktif dalam mengelakkan insiden banjir besar seperti yang berlaku di Negeri Thai daripada berlaku lagi.

Semoganya peruntukan-peruntukan yang disediakan dapat digunakan dengan sepenuhnya. Pada masa yang sama, kita juga perlu mengekalkan amalan jimat-cermat supaya wang rakyat tidak dapat dibolosi. Jikalau lebihan wang dapat dijimat oleh Kerajaan Negeri, kita berharap bayaran RM100 untuk Pelajar Emas dapat diperluaskan kepada pelajar-pelajar bagi darjah-darjah atau tingkatan-tingkatan yang lain.

Sekian, terima kasih.

Dengan ini, saya mohon menyokong.

Read more!

Ucapan Perbahasan Bajet Negeri (3)

Projek sPICE

Walaupun terdapat pihak-pihak tertentu yang cuba mempersoalkan Kerajaan Negeri yang menerima syarat-syarat tender yang dikemukakan bersamaan dengan konsep sPICE (Subterranean Penang International Convention and Exhibition Centre) oleh Eco Meridien Sdn. Bhd., tetapi hujahan-hujahan bantahan mereka kurang menyakinkan orang awam.

Adakah harga tanah dan harga perumahan di Pulau Pinang akan melambung tinggi, tekanan air menjadi rendah dan sering berlakunya banjir kilat, bekalan elektrik menurun dan menjadi tidak stabil, kehilangan tanah lapang dan menyebabkan pencemaran alam sekitar serta kesesakan trafik yang lebih serius sehingga kualiti hidup merosot secara keseluruhannya, semua ini akan berlaku kerana pelaksanaan projek sPICE yang tujuan asal tender dipanggil adalah untuk membaikpulih PISA yang semakin merosot akibat pengurusan PISA oleh sebuah syarikat kroni PGRM, iaitu PenEvent Sdn. Bhd yang diterajui oleh Penyelaras BN bagi Kawasan Pantai Jerejak Encik Wong Mun Hoe?

Saya ingin mendapatkan penjelasan daripada MPPP berkenaan pendapatan bulanan yang diperolehi serta kerugian yang ditanggung oleh MPPP sepanjang tempoh pengurusan PISA oleh PenEvent Sdn. Bhd. Adakah sebarang pelaburan dibuat oleh syarikat tersebut sepanjang tempoh tersebut? Mengapakah suatu perjanjian yang berat sebelah serta merugikan MPPP dan rakyat jelata Pulau Pinang dapat ditandatangani dengan PenEvent Sdn. Bhd. selama ini?

Barisan Nasional mendakwa tanah yang dijual oleh MPPP untuk membina hotel berbintang lima di bawah konsep sPICE adalah jauh rendah daripada nilai pasaran sehingga MPPP perlu menanggung kerugian sejumlah RM27 juta. Saya ingin mendapatkan penjelasan daripada MPPP terhadap cara-cara penilaian tanah yang dibuat bagi menangkis serangan-serangan yang tidak berasas daripada Barisan Nasional.

Lihatlah wajah PISA sekarang ini! Kolam renang tidak dapat digunakan! Kurangnya pameran-pameran bertaraf antarabangsa dianjurkan di sini! Lebih-lebih lagi, PISA yang merupakan singkatan Penang International Sports Arena kurang dapat menarik minat kebanyakan penganjur acara-acara sukan yang bertaraf antarabangsa. Semua ini merupakan peninggalan yang amat bernilai daripada Barisan Nasional khasnya Gerakan yang hanya pentingkan kroni-kroni sendiri melalui perlantikan syarikat kroni sendiri untuk menguruskan Kompleks PISA yang seluas 24 ekar.

Penguatkuasaan MPPP

Saya amat berharap Pihak Berkuasa Tempatan dapat melengkapkan kuasa penguatkuasaan dengan adanya undang-undang kecil atau garis panduan yang baru. Kini, PBT menghadapi masalah dalam mengambil tindakan penguatkuasaan untuk menutup bengkel workshop, restoran atau establisymen makanan yang kotor. MPPP juga tiada garis panduan yang terpakai ke atas Homestay atau Confinement Home. Semua ini akan memberi ruang kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab terus melakukan kesalahan. Kompaun yang dikeluarkan oleh PBT tidak akan mendatangkan impak yang berkesan jikalau kedai atau rumah yang digunakan untuk tujuan tersebut tidak dapat ditutup.

Kita menghadapi masalah yang besar dari segi perancangan serta zoning untuk membenarkan kedai-kedai membaiki motorsikal atau enjin serta kedai menjual kereta terpakai untuk beroperasi di seluruh Pulau Pinang. Undang-undang yang sedia ada membenarkan kedai-kedai menjual kereta baru dibuka di kawasan yang diperlingkungkan untuk tujuan komersil tetapi kereta-kereta terpakai tidak dapat dijual di situ. Undang-undang kita juga mewajibkan kedai-kedai membaiki motosikal atau ejin atau workshop dibuka di kawasan yang diperlingkungkan untuk Industri Ringan. Namun, kawasan-kawasan industri ringan yang sedia ada juga tidak dapat menampung permintaan semua jenis kedai tersebut.

Ingin saya membangkitkan satu kes yang melibatkan Encik Chan Kok Eng bagi Eng Teong Motors di alamat 711-G-57, Mukim 11, Taman Emas, Teluk Kumbar, 11920 Pulau Pinang. Ini merupakan sebuah kedai yang menjalankan perniagaan membaiki enjin sangkut untuk nelayan-nelayan di sekitar Bayan Lepas selama 18 tahun. Mengapakah MPPP hanya mengeluarkan kompaun kepada Eng Teong Motors setiap kali jirannya yang juga menjalankan perniagaan kedai kek yang haram membuat aduan terhadap MPPP? Saya berasa MPPP tidak harus dipergunakan oleh salah satu pihak untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang lain atas sebab masalah peribadi antara mereka.

Masalah ini berlaku di seluruh Pulau Pinang di mana terdapat banyak kedai membaiki motosikal atau enjin motosikal yang beroperasi di bawah rumah pangsa. Jikalau kita tidak dapat mengambil tindakan terhadap kesemua kedai membaiki motosikal yang haram, janganlah mengambil tindakan terhadap kedai-kedai yang tertentu sahaja. Lagipun, kes ini melibatkan masalah-masalah peribadi di antara dua buah kedai yang sama-sama haram.

Saya juga ingin mendapat penjelasan daripada Kerajaan Negeri berkenaan dengan status terkini bagi Pelan Kawasan Khas bagi Tapak Warisan George Town. Terdapat banyak bantahan terhadap deraf Pelan Kawasan Khas tersebut yang melarang banyak jenis perniagaan dijalankan di sebahagian atau keseluruhan Tapak Warisan George Town, khasnya kedai membaiki motosikal. Ini akan mendatangkan kesulitan terhadap penduduk-penduduk di sekitar Tapak Warisan Sedunia tersebut.

Kita mendapati kebanyakan kedai makan atau restoran yang telah diluluskan lesen establisymen makanan oleh MPPP kini tidak dipasang atau digantikan dengan penapis gris yang dapat beroperasi dengan baik. Ini akan menyebabkan sisa-sisa makanan dan minyak ditumpahkan ke dalam sistem saliran longkang dan menyebabkan pencemaran yang serius. Saya ingin memohon supaya tindakan pemantauan dijalankan dari semasa ke semasa dan mana-mana kedai tidak dipasang atau digantikan dengan penapis gris tidak harus dibenarkan operasinya sehingga penapis tersebut telah dipasang atau digantikan.

Untuk menangani masalah lebih daripada sebuah outlet hiburan didirikan di kawasan yang sama, saya ingin memohon supaya Pihak Berkuasa Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan menetapkan garis panduan supaya hanya sebuah outlet hiburan boleh dibenarkan untuk setiap jalan dan jarak di antara outlet hiburan dan rumah kediaman yang terdekat perlulah sekurang-kurangnya 500 meter supaya pelanggan-pelanggan yang mengunjungi outlet hiburan tersebut tidak akan mendatangkan kesulitan kepada orang lain.

Jikalau diambil Jalan Rangoon sebagai contoh, sekurang-kurangnya terdapat 6 buah outlet hiburan tertumpu di satu jalan. Di antaranya, terdapat sebuah pub yang beroperasi di tingkat bawah di mana terdapat sebuah gereja di tingkat atasnya. Permohonan lesen hiburan oleh pub tersebut telah ditolak oleh Pihak Berkuasa Negeri. Tetapi, pub tersebut masih meneruskan operasinya sehingga hari ini. Pada dua hari yang lepas semasa sambutan Halloween, jalan tersebut telah dibanjiri oleh berpuluh-puluh kenderaan yang telah menghalang lalu-lalang penduduk-penduduk setempat, di mana dijangka terdapat lebih kurang 60 keluarga yang menghadiri sambutan dalam gereja manakala pelanggan-pelanggan di pusat snooker dan pub di situ melebihi 50 orang. Memandangkan tempat tersebut tidak sesuai dijadikan dan demi mengekalkan keharmonian komuniti setempat, maka saya memohon supaya tindakan penguatkuasaan yang tegas diambil segera terhadap mana-mana outlet hiburan yang haram di kawasan tersebut.

Walau bagaimanapun, saya berasa lebih baik diwujudkan zoning khas bagi hiburan di Pulau Pinang, supaya kesemua outlet hiburan dapat ditumpukan dalam suatu kawasan yang diperlingkungkan khas untuk tujuan tersebut. Dengan wujudnya zoning khas tersebut, maka outlet-outlet hiburan tidak perlu diwujudkan di kawasan yang berdekatan dengan premis-premis kediaman.

Read more!

Ucapan Perbahasan Bajet Negeri (2)

Tiadanya Peruntukan Pembangunan untuk Pejabat-Pejabat Tanah

Selama ini, Kerajaan Negeri tidak memperuntukkan apa-apa peruntukan pembangunan untuk Pejabat Daerah dan Tanah di setiap daerah. Ini menyebabkan kebanyakan Tanah Kerajaan Negeri terus dibiarkan tanpa sebarang penyelenggaraan dibuat. Akibatnya, Tanah Kerajaan Negeri penuh dengan semak samun dan seterusnya menjadi tempat pembiakan ular atau serangga-serangga beracun yang boleh menjejaskan keselamatan awam.

Saya berharap Kerajaan Negeri dapat mengkaji masalah tersebut supaya peruntukan-peruntukan yang sewajarnya dapat disediakan untuk tujuan tersebut. Tanpanya peruntukan untuk tujuan tersebut, maka tanah-tanah Kerajaan Negeri akan terus dibiarkan sahaja tanpa penyelenggaraan dari semasa ke semasa.

Daripada peruntukan yang disediakan untuk tujuan pengambilan tanah, saya ingin bertanyakan sama ada pengambilan tanah Lot 537 & 536, Seksyen 1, Bandar Air Itam, Daerah Timur Laut di hadapan No. Premis 522A, Jalan Bukit Bendera, Pulau Pinang adalah disenaraikan. Pengambilan tanah bagi kedua-dua lot tersebut amatlah diperlukan memandangkan kedua-dua lot tersebut tidak pernah diwajibkan untuk serahan kepada Kerajaan Negeri semasa pembangunan bagi kawasan-kawasan di sekitarnya diluluskan. Jikalau tuanpunya kedua-dua lot tanah tersebut tidak membenarkan laluan orang awam melalui tanah milikan mereka, maka ini akan menjejaskan kepentingan ratusan penduduk yang menghuni di kawasan tersebut.

Saya juga mendapati terdapat tanah-tanah lapang yang tidak diserahkan kepada Kerajaan Negeri untuk penyelenggaraan oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Baru-baru ini, saya telah merujuk tanah lapang Lot 984, Seksyen 10, Bandar George Town, Daerah Timur Laut di Jalan S.P. Chelliah kepada Pejabat Tanah, di mana tanah tersebut tidak pernah diserahkan kepada Kerajaan Negeri walaupun projek pembangunan telah disiapkan lebih daripada 20 tahun.

Adakah Pejabat-Pejabat Tanah bersedia untuk membuat semakan dalam masa terdekat terhadap tanah-tanah lapang di kawasan daerahnya bagi memastikan kesemua tanah tersebut dapat diserahkan kepada Kerajaan Negeri dengan secepat mungkin? Jikalau tanah-tanah lapang yang seharusnya diserahkan kepada Kerajaan Negeri tidak diserahkan, maka tanah-tanah tersebut akan dijual kepada pihak ketiga dan ini merupakan kerugian besar kepada Kerajaan Negeri. Ini akan menyebabkan penduduk-penduduk di sekitarnya akan kehilangan tanah lapang untuk tujuan riadah atau rekreasi.

Pembangunan Perumahan Awam MPPP

Majlis Perbandaran Pulau Pinang memiliki sebidang tanah yang besar di Jalan S.P. Chelliah dan Jalan Sungai di persimpangan dengan Jalan Gurdwara, di mana MPPP berhasrat untuk membangunan tanah tersebut untuk tujuan komersil sahaja. Terdapat juga cadangan untuk membangunkan tanah tersebut bagi tujuan Pusat Pentadbiran Sehenti bagi MPPP.

Selama ini, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menarik minat lebih ramai orang untuk berhijrah balik serta menghuni di kawasan pusat bandar George Town. Jikalau tanah tersebut dapat dibangunkan untuk tujuan komersil atau pejabat dengan adanya juga elemen perumahan awam, kos rendah atau kos sederhana rendah, ini sedikit sebanyak akan menampung permintaan warga-warga kota untuk terus menghuni di kawasan bandar George Town.

Adalah lebih baiknya jikalau MPPP dapat menjual perumahan kos rendah atau sederhana rendah dengan konsep sewa beli supaya golongan berpendapatan rendah dapat memiliki rumah kediaman masing-masing. Memandangkan rumah pangsa People’s Court di Lebuh Cintra yang semakin merosot memerlukan penaiktarafan atau pembangunan semula, ingin saya tanya apakah perancangan yang ada pada MPPP terhadap People’s Court buat masa ini?

Pembangunan pasar-pasar awam dengan RM1 juta diperuntukkan untuk sebuah pasar terpilih bagi setiap kawasan Parlimen di bahagian Pulau merupakan suatu pendekatan baru yang diambil oleh MPPP supaya pasar-pasar tersebut dapat dinaiktarafkan secara komprehensif serta memberi suatu imej dan persekitaran yang baru kepada pengguna-penggunanya.

Akan tetapi, peruntukan RM1 juta sememangnya tidak mencukupi untuk menaiktaraf Pasar Chowrasta. Walaupun RM2 juta telah disediakan oleh MPPP bagi penaiktarafan Pasar Chowrasta, namun peruntukan tersebut masih tidak mencukupi untuk tujuan tersebut. Dengan itu, saya ingin memohon sokongan Kerajaan Negeri bagi menyediakan peruntukan tambahan kepada MPPP supaya projek penaiktarafan Pasar Chowrasta yang bakal menelan perbelanjaan yang besar dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin.

Kerajaan Persekutuan sedang proses meminda Akta Hakmilik Strata 1985 dan Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2007 supaya digabungkan sebagai Akta Pengurusan Strata. Akan tetapi, perundangan yang baru tersebut masih tidak dapat menangani masalah penubuhan Badan Pengurusan Bersama (JMB) untuk tanah-tanah yang merupakan pajakan swasta (private lease). Keadaan ini berlaku dalam kes-kes pemajuan berstrata di Farlim dan Tanjung Pinang, di mana tanah tersebut merupakan hakmilik kekal tetapi pajakan yang diberikan kepada pihak pemaju hanyalah sepanjang 99 tahun sahaja.

Terdapat pandangan bahawa Peraturan-Peraturan Tanah Negeri Pulau Pinang (Penang Land Rules) boleh dipinda bagi menangani masalah tersebut, supaya JMB dapat ditubuhkan bagi pemajuan-pemajuan berstrata yang merupakan pajakan swasta 99 tahun walaupun tiada Perbadanan Pengurusan (MC) dapat ditubuhkan bagi konteks ini. Saya berharap Pejabat Tanah dan Galian dapat mengambil inisiatif dalam aspek ini supaya masalah-masalah pengurusan serta kenaikan bayaran penyenggaraan dengan sesuka hati oleh pihak syarikat pengurusan lantikan pemaju yang dihadapi oleh penduduk-penduduk tersebut dapat ditangani dengan segera.

Terdapat rungutan daripada pihak penternak dan pengusaha industri khinzir bahawa khinzir-khinzir yang dibela dan disembelih di Seberang Perai tidak boleh dibawa ke bahagian Pulau untuk dijual atau sebaliknya. Mengapakah ada sekatan-sekatan sebegini, sehingga menyusahkan penjual-penjual dan pembeli-pembeli daging khinzir yang inginkan dapatkan sumber daging dari Seberang Perai pada hari yang rumah sembelih di bahagian Pulau tidak beroperasi? Adakah ini disebabkan oleh perundangan yang sudah ketinggalan zaman? Dan adakah Pihak Berkuasa Tempatan bersedia untuk mengkaji semula perundangan yang terlibat supaya memberikan kelonggaran dalam aspek ini?

Read more!

Ucapan Perbahasan terhadap Bajet Kerajaan Negeri 2012 (1)

UCAPAN PERBAHASAN Y.B. NG WEI AIK, AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI BAGI KAWASAN KOMTAR KE ATAS BAJET KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG 2012 PADA 1 DISEMBER 2011 (SELASA) DI DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG:

Dato’ Speaker,

Terima kasih atas peluang bagi saya menyertai perbahasan ke atas Bajet Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2012 yang dibentangkan oleh Y.A.B. Ketua Menteri dalam Dewan yang mulia ini.

Ini merupakan kali keempat Y.A.B. Ketua Menteri membentangkan suatu bajet yang berjiwakan rakyat dengan berlandaskan konsep 3M, iaitu Martabatkan Rakyat, Mesra Perniagaan dan Mantapkan Kedudukan Kewangan.

Walaupun defisit bajet bagi tahun depan adalah RM213.71 juta, namun kami yakin dengan “track record” yang dicatat bagi empat tahun yang lepas, kita berharap Kerajaan Negeri dapat mencatat sekali lagi lebihan bajet pada akhir tahun depan.

Dari segi bekalan, Jabatan Kewangan Negeri mencatatkan peningkatan tertinggi dan diikuti dengan Jabatan Taman Botani (31.48%) dan Jabatan Perhutanan (26%). Dari segi peruntukan pembangunan, Jabatan Kewangan Negeri juga mencatatkan peningkatan tertinggi (66.92%) dan diikuti dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (39.77%) dan Jabatan Taman Botani (28.34%).

Pengutipan Parking Taman Botani

Walaupun Jabatan Taman Botani diberi peruntukan yang lebih jikalau dibandingkan dengan tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 31.48% dari segi bekalan dan 28.34% dari segi pembangunan, saya amat hairan dengan keputusan Jabatan Taman Botani yang ingin mengenakan kutipan bayaran parking mulai 1 November 2011.

Pengumuman yang dibuat oleh Jabatan Taman Botani telah menimbulkan ketidakpuasan di kalangan pengguna-pengguna Taman Botani serta penduduk-penduduk yang menghuni di Park Avenue. Lebih-lebih lagi, Jabatan Taman Botani membenarkan pondok kutip bayaran parking didirikan di tengah-tengah jalan JKR yang menghala ke Taman Botani sehingga menyebabkan kemalangan yang melibatkan sebuah penunggang motosikal dan sebuah kereta. Mujurnya pelantar konkrit yang dibina untuk mendirikan pondok-pondok tersebut telah dirobohkan pada 30 Oktober 2011 sebelum berlakunya apa-apa kemalangan yang lebih serius lagi.

Kebenaran untuk pihak kontraktor iaitu Syarikat Perusahaan Muhibbi mendirikan pondok-pondok di tengah-tengah jalan tidak pernah direstui oleh Jabatan Kerja Raya yang merupakan penyelenggara jalan tersebut serta Pejabat Tanah Daerah Timur Laut memandangkan lokasi tersebut merupakan Tanah Kerajaan. Menurut Jabatan Taman Botani, pondok-pondok kutip bayaran parking didirikan di tempat tersebut, iaitu di hadapan Pusat Penjaja serta berdekatan dengan Park Avenue bertujuan untuk menyelesaikan masalah orang awam yang suka meletak kenderaan-kenderaan di tepi jalan menghala ke Taman Botani.

Akan tetapi, keadaan ini akan menyebabkan orang awam yang tidak ingin membayar wang parking akan meletakkan kenderaan-kenderaan mereka di hadapan Park Avenue serta kawasan tepi jalan sebelum pondok-pondok tersebut. Keadaan ini juga akan membawa kesulitan kepada penduduk-penduduk di sekitarnya, khasnya mereka yang menghuni di Park Avenue. Masa kutipan dari jam 6.00 pagi hingga 8.00 malam serta kadar bayaran yang ditetapkan, iaitu RM0.60 sejam untuk kereta, RM2.00 sejam untuk bas, RM1.00 sejam untuk teksi dan RM0.30 sejam untuk motosikal juga kurang munasabah serta menyulitkan pengguna-pengguna yang bersenam di Taman Botani setiap hari.

Saya dimaklumkan bahawa tender yang dipanggil merupakan keputusan yang dibuat di peringkat Jabatan Taman Botani tanpa berunding dengan Ahli EXCO Negeri yang bertanggungjawab terhadap portfolio tersebut. Hasilnya sebuah syarikat dilantik sebagai kontraktor bagi tujuan tersebut dan apa yang diperolehi oleh Kerajaan Negeri hanya sejumlah RM8,888.00.

Jikalau Kerajaan Negeri dapat memberi peruntukan yang lebih tinggi kepada Jabatan Taman Botani pada tahun depan, saya tidak lihat ada kewajaran bagi Jabatan Taman Botani melaksanakan sesuatu dengan pulangan yang kurang memberansangkan serta boleh menimbulkan ketidakpuasan di kalangan awam. Keputusan yang tidak wajar jikalau dibuat oleh sesebuah jabatan atau agensi Kerajaan Negeri juga akan menjejaskan imej Kerajaan Negeri secara keseluruhannya.

Saya ingin bertanyakan kerugian yang perlu ditanggung oleh Kerajaan Negeri jikalau tender tersebut dibatalkan dan apakah tindakan yang akan diambil terhadap pegawai-pegawai yang terlibat berikutan sesuatu keputusan tidak wajar telah dibuat.

Read more!